Perak raih prospek pelaburan RM1.6 bilion

Iklan
Saarani (dua dari kiri) ketika berkunjung ke Yantai Yatong Precision Mechanical Technology di Changshu, Suzhou berjaya mendapatkan komitmen pelaburan bernilai RM160 juta.

IPOH - Misi Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Negeri ke China dari 17 hingga 24 Mei lalu membuahkan hasil apabila Perak berjaya meraih prospek serta komitmen pelaburan baharu bernilai lebih RM1.6 bilion.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, nilai pelaburan itu merangkumi beberapa sektor bernilai tinggi termasuk teknologi digital, kecerdasan buatan atau AI, pusat data, tenaga hijau, automotif dan industri masa hadapan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perkembangan itu sekali gus memperkukuh usaha kerajaan negeri menarik pelaburan berkualiti yang dapat memberi limpahan ekonomi, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menyokong hala tuju pembangunan Perak Sejahtera 2030.

"Antara hasil utama misi ini ialah komitmen pelaburan RM1 bilion bagi pembangunan NexQuantum AI Digital Park @ SVTP, susulan lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri ke ibu pejabat Ennoconn di Kunshan serta Jiading Big Data Centre di Shanghai bagi melihat perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), pusat data, infrastruktur digital dan ekosistem industri pintar.

Iklan

"Pembangunan projek ini bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan Pasukan Petugas Pusat Data atau Data Centre Task Force (DCTF),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Saarani (belakang, kiri) turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama Strategik di antara Perak SADC dengan Shuifa Energy Group bagi projek tenaga baharu berkonsepkan Floating Aqua-Voltaic ketika Misi Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Negeri ke China dari 17 hingga 24 Mei lalu.

Iklan

Saarani berkata, DCTF merupakan platform penyelarasan strategik yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Katanya, DCTF berperanan menilai, menyelaras dan memantau pembangunan projek pusat data di Malaysia secara lebih tersusun, strategik dan mampan.

Dalam misi sama, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama Strategik antara Perak SADC dan Shuifa Energy Group Co Ltd bagi meneroka pembangunan projek tenaga boleh baharu berkonsepkan floating aqua-voltaic berkapasiti 30 megawatt puncak di Tanjung Tualang.

Katanya, projek itu melibatkan prospek pelaburan antara RM180 juta hingga RM200 juta dalam tempoh tiga tahun dan dijangka memperkukuh agenda tenaga hijau negeri.

Selain itu, Saarani berkata, Yantai Yatong Precision Mechanical Technology, syarikat berpengalaman lebih 20 tahun dalam pembuatan komponen automotif, turut memilih Perak sebagai lokasi kilang pertamanya di luar negara dengan pelaburan bernilai RM160 juta di Tanjong Malim Hi-Tech Park.

Delegasi kerajaan negeri diketuai Saarani mendengar taklimat ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Ennoconn di Kunshan, China.

“Ningbo Fresh Technology Co Ltd yang telah mempunyai kilang pembuatan komponen automotif di Tanjong Malim pula berhasrat mengembangkan operasi dengan pelaburan tambahan bernilai RM263 juta di Tanjong Malim Hi-Tech Park bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport,” katanya.

Selain pertemuan dengan syarikat-syarikat strategik, Saarani berkata, kerajaan negeri melalui InvestPerak dengan sokongan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Shanghai turut memperluas jaringan pelaburan menerusi sesi business pitching.

Jelasnya, pada sesi itu lebih 100 pemain industri China melibatkan sektor elektrik dan elektronik, automotif, mesin dan alat ganti, industri hiliran berasaskan mineral, industri halal serta pemprosesan makanan.

Beliau berkata, kesemua prospek dan komitmen pelaburan itu akan disusuli secara tersusun oleh agensi berkaitan bagi memastikan ia dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar.