BEBERAPA video tular di media-media sosial tentang anak muda di negara ini sedang asyik dan khayal selepas menghisap vape yang mengandungi dadah.
Vape ini dikenali dengan pelbagai nama antaranya piau-piau, mushroom, magic pod, zombie vape dan kpod.
Kandungannya ialah dadah sintetik yang mengandungi bahan psikoaktif yang menyebabkan penghisapnya mengalami gejala lalok, khayal, badan ringan, halusinasi, separuh sedar dan rasa seperti mahu terbang.
Jadi inilah dadah yang menjadi trend dalam kalangan anak muda di Malaysia pada masa ini.
Masalah dadah bukan perkara baru dan dalam rekod sejarah opium daripada bunga popi digunakan di Mesopotamia kira-kira 3,400 sebelum Masihi.
Daun coca digunakan masyarakat Andes di Amerika Selatan sejak ribuan tahun lalu dan ganja digunakan dalam tamadun India, China dan Timur Tengah untuk perubatan dan upacara agama.
Sementara cendawan halusinogen turut digunakan oleh masyarakat purba di Amerika Tengah.
Dalam tamadun China purba, candu digunakan sebagai ubat penahan sakit dan rawatan tradisional.
Namun apabila penggunaannya menjadi meluas untuk khayal, ia mencetuskan krisis sosial besar termasuk Perang Candu antara China dan British pada abad ke-19.
Jadi dadah memang telah menimbulkan banyak mudarat kepada manusia dan Malaysia membelanjakan ratusan juta ringgit setiap tahun demi untuk memerangi dadah.
Kerana dadah, hidup individu menjadi musnah, keluarga berpecah-belah, masalah sosial berleluasa dan berakhir dengan perbuatan jenayah yang serius.
Disebabkan itulah ada negara melaksanakan undang-undang dadah paling berat di dunia seperti Singapura, China, Indonesia, Iran dan Arab Saudi. Negara-negara ini mengenakan hukuman mati terhadap pengedar dadah.
Malah Rodrigo Duterte melancarkan perang terhadap dadah selepas menjadi Presiden Filipina pada 2016 menerusi kempen dikenali sebagai 'War on Drugs' atau perang dadah Filipina.
Filipina melakukan operasi polis besar-besaran dengan menjalankan serbuan besar terhadap pengedar, penagih, sindiket dan makmal dadah.
Operasi utama dikenali sebagai 'Oplan Tokhang', di mana polis pergi dari rumah ke rumah untuk mengenal pasti suspek dadah.
Pendekatan sangat keras Duterte terkenal dengan pendekatan sifar toleransi dan beliau secara terbuka menggesa tindakan keras terhadap pengedar dan penjenayah dadah.
Ekoran itu ratusan ribu individu ditahan sepanjang kempen tersebut dan polis Filipina melaporkan lebih 170,000 tangkapan dibuat dalam tempoh beberapa tahun pertama operasi.
Namun perang dadah Filipina menjadi sangat kontroversi kerana ribuan orang terbunuh dan terdapat dakwaan pembunuhan tanpa bicara sehingga kumpulan hak asasi manusia menuduh berlaku pembunuhan tanpa proses mahkamah.
Kerajaan Filipina pada ketika itu mendedahkan hanya beberapa ribu individu terlibat dengan dadah telah dibunuh tetapi kumpulan hak asasi menganggarkan lebih 12,000 hingga 30,000 kematian.
Akibat kontroversi itu, Duterte kini berdepan proses di Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkaitan dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.
Walaupun dikritik di peringkat antarabangsa, kempen tersebut masih mendapat sokongan sebahagian rakyat Filipina yang melihatnya sebagai usaha menurunkan jenayah dan menakutkan sindiket dadah.
Sehubungan itu, Malaysia masih berdepan jalan penuh berliku untuk memerangi dadah dan pada masa ini pendekatan yang menyeluruh sahaja mampu atasi masalah itu dan tidak semata-mata meletakkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa.
Untuk itu kita juga perlu sokong hasrat kerajaan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian