Tiga maut nahas di Karak: 'Saya dapat panggilan adik kemalangan' - Abang

Iklan
Sepasukan anggota BBP Selayang dikejarkan ke lokasi kemalangan maut di KM34 Lebuhraya Karak, Gombak pada Jumaat. Foto: JBPM Selangor (Gambar kecil: Adli Hakim)

GOMBAK -"Saya bergegas dari rumah ke lokasi kejadian selepas rakan arwah telefon saya beritahu adik kemalangan."

Itu perkongsian abang kepada Allahyarham Adli Hakim Akberdin, 24, iaitu Ardy Suffian selepas mengetahui kemalangan maut menimpa empat penumpang kereta, termasuk adiknya di Kilometer (KM) 34, Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Chinchin di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurut Ardy, selepas menerima panggilan itu, dia bergegas dari rumahnya di Shah Alam ke lokasi kejadian.

"Kemudian adik disahkan meninggal dunia di depan saya...perasaan sukar nak gambarkan, sedih," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Iklan

Ardy berkata, Allahyarham Adli antara adik-beradik yang paling manja dan 'rileks' sekali.

"Arwah merupakan anak kelima dari tujuh beradik. Saya ada juga WhatsApp dengannya sebelum ini, tapi hanya perbualan biasa, tiada apa-apa yang nampak berubah," ujarnya.

Iklan

Kongsinya lagi, sebelum kejadian Allahyarham bersama tiga rakannya yang lain baru selesai makan di Genting Highland dan sedang dalam perjalanan pulang ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Allahyarham Adli merupakan penuntut UIA di tahun akhir dalam jurusan Sarjana Muda Undang-Undang.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Adli dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam selepas Asar pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 2.07 pagi.

Dalam kejadian itu, tiga lelaki dilaporkan maut manakala seorang wanita parah selepas kereta jenis Volkswagen yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori simen.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.