‘Pocong’ di Tangerang disahkan berita palsu

Iklan
Gambar dan video mengenai sosok menyerupai pocong yang tular. Foto: Agensi

JAKARTA - Khabar mengenai kemunculan lembaga menyerupai pocong di Cipondoh, Kota Tangerang, Banten disahkan sebagai berita palsu oleh pihak polis dan penduduk setempat.

Menurut laporan detik.com, lembaga berkenaan yang hangat diperkatakan itu dipercayai merupakan salah satu modus operandi jenayah pada waktu malam.

Iklan
Iklan

Difahamkan, terdapat penjenayah yang menggunakan kostum pocong untuk menakutkan mangsa atau sasaran supaya barangan berharga mereka mudah dirampas.

Khabar tular mengenai kemunculan penjenayah berkostum pocong itu turut hangat diperkatakan netizen dan mereka dipercayai bergerak secara berkumpulan serta membawa senjata tajam.

Iklan

Susulan itu, anggota Polis Sektor (Polsek) Cipondoh pergi ke Jalan Alfurqon di Kelurahan Poris Plawad Utara, Kecamatan Cipondoh susulan tersebarnya khabar mengenai penampakan pocong di kawasan berkenaan.

Pihak polis turut menemui pengurusan kawasan dan mendapatkan penjelasan daripada mereka, termasuk ketua RT dan RW yang memaklumkan dakwaan kemunculan ‘pocong’ itu tidak benar.

Iklan

Anggota Polsek Cipondoh, Aiptu Ahmad Nurdin berkata, kehadiran mereka di lokasi adalah untuk membuat penjelasan berhubung maklumat yang meresahkan masyarakat dan sudah tular.

“Kemudian saya meminta penjelasan daripada ketua kawasan untuk memberi penerangan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram Polsek Cipondoh pada Khamis.

Dalam masa sama, pihak pengurusan kawasan menegaskan dakwaan mengenai ‘pocong’ jenayah di kawasan mereka adalah tidak benar atau palsu.

“Kami mewakili RT dan RW setempat ingin meyakinkan penduduk sekitar termasuk di Alfurqon dan kawasan sekitarnya di Kecamatan Cipondoh bahawa berita ini adalah palsu dan tidak benar,” kata ketua RT tempatan.

Orang ramai diminta supaya kekal tenang dan tidak mudah percaya dengan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.

Pengurusan kawasan turut memaklumkan rondaan malam dilakukan secara berkala dari jam 11 malam hingga 3 pagi bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin. - Agensi