Lelaki ditemui maut berlumuran darah di depan kedai makan, dipercayai dibunuh

Iklan
Keadaan di lokasi kejadian selepas seorang lelaki berusia 22 tahun ditemui maut di hadapan premis makanan dan minuman di Pekan Nanas, Pontian. - Foto IPD Pontian

PONTIAN – Seorang lelaki tempatan ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai makanan dan minuman di Pekan Nanas, di sini awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.53 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian kemudian bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki.

Iklan

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Polis menjalankan siasatan di lokasi seorang lelaki ditemukan maut dengan kecederaan parah pada tangan dan kaki di Pekan Nanas. - Foto IPD Pontian

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Polis kini sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan suspek yang terlibat.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Shah Abdul Rasheed di talian 019-7578020 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan.