SEJAK beberapa dekad lalu, China muncul sebagai antara kuasa besar dunia yang paling berpengaruh.
Kepesatan ekonomi, kemajuan teknologi moden dan kekuatan politik yang dimiliki negara itu menyebabkan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia berlumba-lumba menjalinkan hubungan strategik dengan Beijing demi menjaga kepentingan masing-masing.
Bagi Washington, kuasa besar Asia itu bukan sahaja rakan dagang yang penting, malah turut dilihat sebagai pesaing utama dalam bidang ekonomi, teknologi dan pengaruh global.
Lawatan Presiden Donald Trump dan Vladimir Putin ke China menunjukkan walaupun kuasa besar dunia bersaing, mereka masih mahu mengekalkan komunikasi untuk mengelakkan konflik lebih besar.
AS dan Rusia mempunyai pendekatan berbeza terhadap Beijing. Washington yang kini berdepan ketegangan dengan Iran dilihat cuba menstabilkan hubungan dengan Beijing bagi mengurangkan risiko konflik selain memberi ruang untuk merangka strategi baharu dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.
Kremlin pula melihat hubungan dengan China sebagai sokongan jangka panjang untuk menghadapi tekanan Barat dan sekatan antarabangsa susulan perang bersama Ukraine yang tiada kesudahan.
Pada masa sama, Barat masih melihat Beijing dan Moscow ancaman strategik kepada pengaruh AS yang berusaha mengekalkan dominasi di pentas dunia.
Beijing kini memegang peranan utama sebagai ‘penstabil’ antara dua kuasa besar tersebut.
Menerusi hubungan Washington-Beijing, kerjasama sekarang lebih tertumpu usaha ‘mengurangkan risiko’ hingga pendirian AS terhadap isu Taiwan juga berubah.
Walaupun kedua-dua negara sering bertelagah, AS masih memerlukan kerjasama dan terpaksa bergantung dengan China untuk pastikan kestabilan ekonomi dunia.
Persaingan antara Washington dan Moscow untuk mendapatkan sokongan Beijing jelas membuktikan kehebatan China sebagai kuasa besar dunia yang semakin dominan dan berpengaruh dalam mencorakkan landskap geopolitik antarabangsa.
Walaupun kuasa-kuasa besar terus bersaing untuk memperkukuh pengaruh masing-masing, ketiga-tiga negara itu tetap berusaha memastikan persaingan kekal terkawal supaya tidak berkembang menjadi konflik besar yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan dunia.