CHENNAI – Bintang legenda India Selatan, Rajinikanth menyifatkan kemenangan politik C Joseph Vijay sebagai pencapaian luar biasa yang didakwa lebih besar berbanding kejayaan politik tokoh legenda India Selatan seperti M. G. Ramachandran (MGR) dan N. T. Rama Rao (NTR).
Menurut laporan media India pada Sabtu, Rajinikanth berkata, Vijay berjaya mencipta sejarah apabila memenangi pilihan raya secara solo walaupun berdepan saingan parti nasional serta parti politik utama di Tamil Nadu.
“Vijay mencapai sesuatu yang lebih besar daripada apa yang dilakukan MGR dan NTR. Dia menang secara bebas ketika berdepan Bharatiya Janata Party di peringkat pusat serta dua parti Dravidia utama di Tamil Nadu.
“Ia membuatkan saya rasa amat terkejut dan gembira,” katanya ketika sesi bersama media.
Kenyataan tersebut pantas tular di media sosial dengan ramai peminat serta pemerhati politik menyifatkannya sebagai antara sokongan terbesar diterima Vijay daripada industri perfileman sejak beliau menyertai arena politik.
MGR, atau nama sebenarnya Marudur Gopalan Ramachandran, merupakan legenda filem Tamil yang kemudian menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu selama lebih sedekad dan masih dianggap antara pemimpin paling berpengaruh dalam sejarah politik negeri itu.
Sementara itu, NTR, atau Nandamuri Taraka Rama Rao, pula ialah bintang besar industri perfileman Telugu yang berjaya mencipta fenomena politik apabila menjadi Ketua Menteri Andhra Pradesh selepas menubuhkan parti sendiri pada era 1980-an.
Perbandingan dibuat Rajinikanth terhadap Vijay dengan dua ikon politik dan filem India Selatan itu turut mencuri perhatian ramai memandangkan pengaruh besar MGR dan NTR dalam dunia hiburan serta politik serantau.
Kebangkitan politik Vijay sejak setahun lalu menjadi topik hangat di Tamil Nadu apabila strategi politik bebas dibawanya berjaya meraih sokongan besar rakyat.
Sebelum ini, Vijay mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu Tamil Nadu selepas partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam, muncul sebagai parti terbesar dalam pilihan raya negeri dengan memenangi 108 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Kemenangan tersebut sekali gus mengejutkan landskap politik Tamil Nadu apabila Vijay berjaya menewaskan gabungan parti tradisional yang sekian lama mendominasi politik negeri itu.
Vijay, yang sebelum ini dikenali sebagai antara pelakon paling berpengaruh di India Selatan, turut menggunakan populariti serta pengaruh besar dalam kalangan anak muda untuk memperkukuhkan sokongan politiknya. – Agensi