SHAH ALAM - Selangor mengesan kira-kira 20 peratus penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 Petaling Jaya, menyewakan unit mereka kepada pihak ketiga meskipun kediaman itu disediakan khusus untuk golongan B40.
Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah berkata, hasil kajian mendapati terdapat penyewa mengambil kesempatan dengan menyerahkan sewaan kepada individu lain walaupun kadar yang dikenakan amat rendah.
Menurutnya, majoriti penghuni hanya membayar sewa RM124 sebulan, manakala sebahagian kecil dikenakan kadar RM250 sebulan iaitu jauh lebih murah berbanding kadar pasaran sekitar RM700 hingga RM800 sebulan.
"Kita dapati tak sampai 20 peratus penghuni menyewakan rumah kepada orang lain dan perkara ini tidak adil kepada penduduk yang benar-benar memerlukan rumah PPR.
"Buat masa ini, kita akan lakukan secara perlahan-lahan dan berhemah termasuk memberi pendidikan kepada penghuni supaya mereka faham tujuan asal penyediaan rumah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Selangor di sini pada Isnin.
Borhan berkata, pihaknya akan memanggil penyewa asal bagi mengenal pasti status sebenar penghuni dan meneliti sama ada individu yang menetap di unit itu layak menerima kemudahan PPR.
"Kita panggil penyewa untuk kita kenal pasti dan sekiranya mereka memang layak, kenapa tidak kita tawarkan terus kepada mereka daripada berlaku sublet kepada orang lain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PPR yang mempunyai 3,004 unit dan siap sepenuhnya pada tahun 2000 itu kini diambil alih oleh Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).
Jelasnya, sejak pengambilalihan itu, pihak pengurusan berjaya meningkatkan kutipan sewa sehingga 60 peratus dalam tempoh singkat.
Katanya, beberapa penambahbaikan turut dilakukan termasuk pengurusan sampah, kerja mengecat semula bangunan dan penyelenggaraan lif bagi memastikan penghuni mendapat persekitaran lebih selesa.
“Jika perkhidmatan lebih baik, kawasan lebih bersih dan kemudahan dinaik taraf, penduduk juga perlu memainkan peranan dengan memastikan bayaran sewa dibuat tanpa tunggakan," tambah beliau.
Borhan (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan pengurusan dana penyelenggaraan PPR Lembah Subang 1 antara Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr M Noor Azman Taib (tengah) dan Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (dua dari kiri) pada Majlis MoU di sini pada Isnin.