MUMBAI - Hampir sembilan tahun selepas tragedi berlaku, seorang lelaki warga emas dikenakan denda sebanyak 20,000 rupee (RM823.55) kerana melanggar seorang remaja perempuan sehingga mangsa koma selama beberapa bulan.
Tertuduh, P Narayanasamy Poosaripadaiyachi, 66, ketika kejadian memandu sebuah Toyota Innova milik pesuruhjaya kereta api sebelum merempuh Nidhi Jethmalani, 17, di lintasan belang berhampiran Churchgate pada 28 Mei 2017.
Menurut laporan NDTV, mangsa yang ketika itu dalam perjalanan ke sebuah kolej mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan pinggang selepas dirempuh kenderaan yang dipandu laju kira-kira 70 kilometer sejam.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital sebelum menjalani pembedahan otak dan menerima rawatan selama tiga bulan.
Poosaripadaiyachi yang berasal dari Chennai ditahan pada hari kejadian atas kesalahan memandu secara melulu sebelum dibebaskan dengan jaminan beberapa jam kemudian.
Pada Jumaat, Mahkamah Majistret Mumbai mensabitkan Poosaripadaiyachi atas kesalahan memandu secara cuai dan mengarahkannya membayar pampasan sebanyak RM823.55 kepada mangsa.
Majistret Tambahan, Supriya Vijaysinh Nikam dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira faktor tertuduh merupakan pesalah kali pertama selain telah bersara pada tahun 2020 dan kini hanya bergantung kepada pencen.
Pada 2021, Tribunal Tuntutan Kemalangan Jalan Raya (MACT) mengarahkan mangsa menerima pampasan lebih RM287,910 dan dana amanah sebanyak RM616,951 untuk kos rawatan masa depan.
Mahkamah Tinggi Bombay pada 2025 turut membandingkan keadaan mangsa dengan Aruna Shanbaug ketika mendengar rayuan difailkan bapanya berhubung tuntutan pampasan akhir sebanyak lebih RM2 juta.