BARU-BARU ini ketika berucap mengenai ketegangan serantau di Asia Barat dan konflik melibatkan Iran, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyeru umat Islam menolak perpecahan mazhab dan bersatu sebagai satu umat.
Mesejnya ringkas tetapi mendalam: “Kita tidak mempunyai agama dinamakan Sunni atau Syiah. Kita hanya mempunyai satu agama iaitu Islam.”
Tegasnya umat Islam tidak seharusnya memisahkan diri mengikut mazhab atau etnik. Katanya tidak wajar dilihat sebagai identiti terpisah apabila berbicara tentang keimanan.
Hakikatnya, Erdogan mengingatkan pemimpin dan masyarakat Islam satu prinsip fundamental. Tidak ada Sunni atau Syiah sebagai agama berasingan, yang ada hanyalah Islam. Umat Islam harus melihat diri mereka sebagai Muslim terlebih dahulu, bukannya sebagai ahli mazhab yang saling bersaing.
Ramai mungkin tidak menyedari terdapat juga satu cabang sejarah Islam ketiga dikenali Ibadiyah. Sesetengah ahli sejarah menjejak asal-usulnya ke zaman awal sejarah Islam, muncul daripada perdebatan susulan konflik politik pertama sesama Muslim.
Hari ini komuniti Ibadi kebanyakannya terdapat di Oman, di mana mereka membentuk majoriti penduduk dan komuniti kecil di beberapa bahagian Afrika Utara serta Timur.
Pada masa sama, penting untuk kita fahami dunia Islam jauh lebih pelbagai daripada tiga kumpulan besar ini. Dalam tradisi Sunni dan Syiah, terdapat banyak sekolah pemikiran, orientasi teologi serta gerakan kerohanian. Bagi aliran Sunni, terdapat mazhab perundangan terkenal seperti Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali, selain gerakan digambarkan Salafi atau Wahhabi. Dalam tradisi Syiah pula, terdapat cabang seperti Dua Belas Imam (Ithna ‘Ashariyyah), Ismaili dan Zaidi.
Di luar perbezaan ini, wujud juga tradisi Sufi menekankan kerohanian dan penyucian jiwa dan pengikutnya boleh datang daripada latar belakang Sunni mahupun Syiah. Sejak kebelakangan ini, terdapat juga individu mengenal pasti diri mereka lebih berfokus kepada al-Quran atau Qur’anist, meletakkan penekanan khusus kepada al-Quran sebagai sumber panduan utama.
Pelbagai tafsiran
Semua ini mengingatkan kita komuniti Muslim memiliki pelbagai tafsiran, sekolah pemikiran dan jalan kerohanian. Namun, di sebalik itu, kita berkongsi syahadah sama dan tergolong dalam umat Islam yang luas.
Walaupun retorik Erdogan sering muncul dalam diplomasi Turkiye terutama apabila Ankara memposisikan dirinya sebagai jambatan penghubung dunia Islam, mesej ini sangat tepat pada masanya. Jurang antara Sunni dan Syiah telah lama mencorak politik di Asia Barat, sering diperkukuh persaingan antara negara seperti Arab Saudi dan Iran.
Pendekatan Erdoğan untuk mengalihkan tumpuan kembali kepada prinsip lebih asas - mengutamakan ummah, mengiktiraf sejarah awal dikongsi bersama Islam dan keperluan memperkukuhkan perpaduan.
Secara peribadi, saya terbuka untuk belajar daripada pelbagai kumpulan dalam Islam. Saya mendengar, mengkaji dan merenung, lalu memilih apa dirasakan terbaik dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan utama. Dalam Surah az-Zumar, ayat 18, ALLAH memuji: “(Iaitu) mereka yang mendengar perkataan-perkataan, lalu mengikuti yang terbaik daripadanya. Mereka itulah orang diberi petunjuk oleh ALLAH dan mereka itulah orang yang mempunyai akal sempurna.”
Al-Quran juga memberi peringatan tidak berpecah kepada kelompok mazhab dan berkali-kali menegaskan persaudaraan dalam kalangan orang beriman.
Namun, seperti kebanyakan ajaran penting dalam al-Quran, ia tidak sekadar mengeluarkan kenyataan. Ia juga menjelaskan rupa sebenar perpecahan mazhab. Dua ayat merakamkan perkara itu dengan jelas:
“...iaitu orang yang menjadikan faham-faham agama mereka berselisih-selisih dan mereka pula menjadi berpuak-puak. Tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya.” (Surah ar-Rum 30:32)
“Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu yang satu dan Akulah Tuhan kamu, maka bertakwalah kamu kepada-Ku. Kemudian mereka memecah-belahkan urusan agama mereka menjadi beberapa pecahan, tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada di sisi mereka.” (Surah al-Mu’minun 23:52–53)
Ayat pertama menggambarkan realiti psikologi perpecahan mazhab. Setiap kumpulan menjadi yakin tafsiran mereka sahaja betul dan berbangga dengannya. Ayat kedua lebih tegas, bermula dengan menegaskan agama ini adalah satu, kemudian menjelaskan bagaimana manusia memecah-belahkannya menjadi mazhab-mazhab, di mana setiap puak percaya hanya mereka yang benar.
Keangkuhan
Apa dikritik al-Quran di sini ialah keangkuhan dalam kepastian bermazhab, keyakinan bahawa satu kumpulan memiliki monopoli ke atas kebenaran dan petunjuk ALLAH. Al-Quran mengakui perbezaan pendapat akan sentiasa wujud.
Apabila keangkuhan mazhab melampaui batas, sesetengah pihak mula melabel sesiapa di luar sekolah pemikiran mereka sebagai penyeleweng atau lebih buruk lagi, mengkafirkan mereka melalui amalan takfir. Sejarah menunjukkan apabila sesebuah komuniti mencapai tahap itu, perpaduan akan runtuh dan konflik menyusul.
Metodologi al-Quran tidak sekadar mengeluarkan titah. Ia juga menjelaskan punca masalah dan kriteria untuk kita memahaminya. Ambil contoh Surah al-Ma’idah 5:82 menyentuh tentang penganut Kristian:
“Demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang keras permusuhannya kepada orang yang beriman ialah orang Yahudi dan orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang beriman ialah orang yang berkata: ‘Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani (Kristian).’ Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”
Walaupun al-Quran menyatakan penganut Kristian sering antara paling mesra atau belas kasihan terhadap Muslim semasa zaman Nabi, kenyataan itu tidak dibiarkan tanpa penjelasan. Ayat itu terus memberikan sebabnya. Ia merujuk kepada sifat peribadi dan bukannya identiti semata-mata. Ia menonjolkan sifat rendah diri, ketaatan kerohanian dan ketiadaan sifat sombong.
Dalam kata lain, al-Quran sedang mengajar satu prinsip lebih luas. Sesiapa sahaja, bukan hanya penganut Kristian yang memiliki kualiti ini lebih cenderung mendekati orang lain dengan kebaikan dan niat yang murni. Ya, termasuklah penganut Yahudi.
Satu lagi contoh penting pendekatan al-Quran ini ialah arahan untuk umat Islam mentaati dan mengikut Rasulullah. Banyak ayat menekankan perkara ini, namun kriteria bagaimana untuk mengikuti Baginda boleh dilihat dalam Surah al-A‘raf 7:158.
“Katakanlah: Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah Rasul ALLAH kepada kamu semua, daripada Tuhan yang memiliki kerajaan langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia; Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi, yang beriman kepada ALLAH dan kepada kalimat-kalimat-Nya, dan ikutilah dia supaya kamu mendapat petunjuk.”
Dengan demikian, cara mengikuti Nabi ialah dengan beriman kepada ALLAH dan kepada kalimat-kalimat-Nya iaitu al-Qur’an. Oleh itu, sama ada kita Sunni, Syiah, Ibadiyah, Salafi, Wahhabi, Sufi, Deobandi, Barelvi, Ismaili, Zaidi, berfokuskan al-Quran atau tergolong dalam mana-mana aliran lain dalam Islam, marilah kita menyokong seruan Erdogan.
Al-Quran memberi amaran kepada kita agar tidak menjadi kumpulan yang hanya berbangga dengan puak sendiri sehingga terlupa agama ini adalah satu. Marilah kita kekal sebagai Muslim terlebih dahulu. Dan apabila kita berselisih pendapat, kita rujuk kembali kepada al-Quran.
*Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, merupakan penulis isu kepimpinan, pengurusan dan dialog antara agama