GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad mengisytiharkan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda sebagai 'darurat kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa'.
Penularan disebabkan virus Bundibugyo itu bagaimanapun tidak memenuhi kriteria kecemasan pandemik.
Tetapi, negara yang berkongsi sempadan dengan DRC berisiko tinggi untuk penularan lanjut.
Setakat Sabtu, sebanyak 80 kematian, lapan kes disahkan makmal dan 246 kes disyaki telah dilaporkan di tiga zon kesihatan Bunia, Rwampara dan Mongbwalu di wilayah Ituri.
"Wabak ini berpotensi menjadi lebih besar kerana banyak sampel awal positif dan bilangan kes disyaki semakin meningkat. Ia dianggap luar biasa kerana tiada rawatan atau vaksin khusus untuk virus Bundibugyo yang diluluskan, berbeza dengan strain Ebola-zaire," jelas WHO dalam satu kenyataan.
Menurutnya, wabak DRC-Uganda menimbulkan risiko kesihatan awam kepada negara lain berikutan beberapa kes penularan antarabangsa telah pun didokumentasikan.
"Kontak rapat atau kes virus Bundibugyo tidak seharusnya melakukan perjalanan antarabangsa kecuali sebagai sebahagian daripada evakuasi perubatan," tegasnya lagi.
Pada masa yang sama, WHO menasihatkan negara-negara supaya tidak menutup sempadan atau mengehadkan perjalanan dan perdagangan kerana ia boleh menyebabkan lintasan tidak terkawal serta sukar dipantau. - AFP
Info
>Ia merupakan wabak Ebola ke-17 yang melanda DRC. Hampir 2,300 orang maut antara 2018 dan 2020.
>Ebola yang dipercayai berasal daripada kelawar boleh menyebabkan pendarahan teruk dan kegagalan organ.
>Menurut WHO, kadar kematian bagi mereka yang dijangkiti separuh abad yang lalu adalah antara 25 hingga 90 peratus.
>Virus ini merebak dari manusia ke manusia melalui cecair badan atau pendedahan kepada darah pesakit yang dijangkiti. Tempoh inkubasi boleh berlangsung sehingga 21 hari.