REMBAU - Sebuah kereta jenis Honda City yang dinaiki tiga anggota polis bersama seorang suspek kes narkotik terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 231.2 Lebuhraya Utara - Selatan(Plus) arah Selatan di sini, pada Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu berlaku ketika kenderaan milik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Seberang Perai terbabit dalam perjalanan menghantar suspek ke Penjara Simpang Renggam, Johor.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, kemalangan membabitkan enam kenderaan jenis Honda City, Toyata Hilux, Toyota Vios, Honda CR-V, Honda Jazz Dan Proton Persona.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada di lorong paling kanan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan sebelum melintang di lorong kanan lebuh raya.
"Pada masa yang sama, Toyota Vios yang datang dari arah belakang cuba membrek bagi mengelak pelanggaran, namun telah dilanggar pula dari belakang oleh Honda City yang dinaiki tiga anggota polis dari IPD Sebarang Perai Utara bersama seorang suspek lelaki berusia 33,"katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, tiga kenderaan iaitu Honda CRV, Honda Jazz dan Proton Persona yang turut datang dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar pula kenderaan di hadapan.
Bagaimanapun katanya, kemalangan tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan serius dan hanya menyebabkan kerosakan pada kenderaan yang terlibat.