SEPANG - [DIKEMAS KINI] Polis menyangkal dakwaan insiden kematian seorang anggota polis semasa menjalani sesi latihan kawad tambahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini Rabu lalu, mempunyai unsur penganiayaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Mior Mohd Nor Azuan Alia berkata, kejadian berlaku di pekarangan padang kawad IPD Sepang kira-kira jam 4 petang.
"Berdasarkan laporan bedah siasat dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, punca kematian disahkan akibat penyakit jantung (coronary atherosclerosis).
"Penjelasan terperinci mengenai perkara ini telah disampaikan secara bersemuka oleh pakar patologi forensik kepada ahli keluarga allahyarham," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pihak IPD Sepang menyangkal dakwaan tidak berasas yang mengatakan bahawa insiden ini mempunyai unsur penganiayaan.
Bagaimanapun, kata Mior Mohd Nor Azuan, satu jawatankuasa penyiasat (CE) tetap ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) secara profesional dan telus bagi memastikan setiap aspek diteliti sepenuhnya.
Tambahnya, jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri, Perlis pada jam 11 pagi, Khamis.
"Allahyarham merupakan anggota berusia 37 tahun bertugas di Balai Polis Dato' Abu Bakar Baginda," ujarnya.
Katanya lagi, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak sahih demi menjaga kebajikan serta menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham.
"Seluruh warga IPD Sepang merakamkan ucapan takziah kepad keluarga atas kehilangan ini," ujarnya.
Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu perkongsian di laman Facebook rasmi beliau menzahirkan kesedihan di atas pemergian Allahyarham Koperal Khairil Idzhar Rodzi.
"Allahyarham Koperal Khairil Idzhar telah berkhidmat mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara dan sesungguhnya pemergian ini adalah satu kehilangan besar buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Salam takziah saya titipkan buat keluarga Allahyarham, semoga ALLAH SWT memberi mereka semua ketabahan menghadapi dugaan ini dan dipermudahkan segala urusan," katanya.