BUNYI lampu 'on air' yang menyala merah menjadi detik bermakna buat penulis ketika melangkah masuk ke konti radio kampus, sekali gus membuka perspektif baharu terhadap dunia penyiaran yang sering dianggap sekadar medium hiburan.
Suasana di dalam konti yang dilengkapi mikrofon serta panel kawalan teknikal mencerminkan realiti sebenar dunia radio yang menuntut ketelitian, disiplin dan kemahiran komunikasi tinggi dalam setiap penyampaian.
Di sebalik suara yang kedengaran santai di udara, wujud komitmen besar dalam memastikan setiap butir kata disampaikan dengan jelas dan berkesan.
Pengalaman pertama berada di kerusi penyampai membuatkan penulis sedar radio bukan sekadar hiburan, tetapi satu pengalaman yang memerlukan tanggungjawab besar untuk memastikan setiap perkataan yang disampaikan jelas dan bermakna.
Peluang melihat sendiri bagaimana suara disalurkan kepada pendengar memberi penulis kefahaman lebih mendalam tentang peranan sebenar penyampai radio, yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyampaikan maklumat dan membina hubungan dengan audiens.
Menurut UNESCO, radio kekal sebagai medium komunikasi paling mudah diakses di dunia kerana tidak memerlukan sambungan internet atau teknologi kompleks, sekali gus menjadikannya amat penting terutama di kawasan luar bandar dan komuniti terpencil.
Bagi mengiktiraf peranan tersebut, Hari Radio Sedunia disambut pada setiap 13 Februari sejak diisytiharkan oleh UNESCO pada tahun 2011, dengan sambutan tahunan kini memasuki lebih satu dekad penganjuran di peringkat antarabangsa.
Di Malaysia, kepentingan radio terus diiktiraf sebagai medium komunikasi yang berpengaruh.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, radio kekal relevan sebagai medium penting dalam menyampaikan maklumat, hiburan dan pendidikan kepada rakyat, selain berperanan sebagai ejen penyatuan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Semoga radio terus menjadi medium yang dipercayai dalam menyatukan masyarakat, serta memperkukuh kefahaman dan keharmonian sejagat,” katanya sempena Hari Radio Sedunia.
Radio kampus pula dilihat memainkan peranan signifikan sebagai platform melahirkan bakat baharu dalam bidang penyiaran. Ia menyediakan ruang kepada pelajar untuk mencuba, belajar dan mengasah kemahiran komunikasi serta kreativiti dalam suasana yang lebih santai tetapi tetap berstruktur.
Pengalaman berada di konti juga memperlihatkan keunikan radio sebagai medium yang mampu membina hubungan rapat dengan pendengar tanpa elemen visual.
Selain itu, radio kekal sebagai sumber maklumat yang pantas dan dipercayai, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan seperti bencana alam. Keupayaan ini menjadikan radio terus relevan walaupun dunia kini dipenuhi dengan pelbagai platform digital dan teknologi komunikasi moden.
Penulis berada di konti radio kampus bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi membuka mata terhadap dunia penyiaran yang sarat dengan cerita, emosi dan tanggungjawab.
Ia turut membuktikan bahawa radio masih mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan masyarakat, merentasi generasi dan perubahan zaman.
Ketika melangkah keluar dari konti, lampu 'on air' itu masih menyala — seolah-olah menjadi simbol bahawa radio tidak pernah berhenti berperanan sebagai medium yang menghubungkan manusia melalui suara.
*Nurhazlin Lydia M Nazri ialah Pencipta Kandungan Sinar Varsity