Isu REE Lynas dibawa ke Parlimen Jun ini – Wong Chen

Iklan
Wong Chen (gambar kecil) akan membawa isu REE Lynas ke Parlimen bagi mendapatkan penjelasan kerajaan mengenai operasi Lynas.

KUALA LUMPUR – Kontroversi melibatkan syarikat Lynas Rare Earths dan industri unsur nadir bumi (REE) negara dijangka menjadi perhatian pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan susulan desakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu kerajaan memastikan operasinya tidak melanggar undang-undang antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan, Wong Chen berkata, beliau akan membawa isu berkenaan ke Parlimen bagi mendapatkan penjelasan kerajaan mengenai operasi Lynas.

Iklan
Iklan

“Saya akan membawa isu ini ke Parlimen pada sidang Parlimen 22 Jun ini,” katanya baru-baru ini.

Sebelum ini, Wong Chen yang juga Ahli Parlimen PKR-Subang mempersoalkan pendirian kerajaan yang lantang dalam isu Palestin dan Gaza, namun pada masa sama berdepan kontroversi susulan pengumuman bahawa Lynas akan membekalkan unsur nadir bumi kepada Pentagon untuk kegunaan pembuatan senjata.

Iklan

Menurut beliau, walaupun kerajaan mungkin tidak dapat mengawal produk yang dihasilkan serta pihak yang membeli bahan tersebut, Malaysia seharusnya mempunyai dasar lebih jelas berkaitan pelaburan asing yang dikaitkan dengan industri persenjataan.

“Untuk masa hadapan, ia seharusnya menjadi dasar nasional bahawa kita tidak harus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) yang terlibat dalam pembuatan senjata dan kelengkapan perang,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa juga akan menyambung persidangan pada Jun bagi meneliti perkara itu dengan lebih mendalam.

Sebelum ini, beberapa organisasi masyarakat sivil termasuk Greenpeace Malaysia dan Sahabat Alam Malaysia menyuarakan kebimbangan bahawa REE yang diproses di Malaysia berpotensi digunakan dalam teknologi ketenteraan berkaitan konflik di Gaza dan Asia Barat.

Perkara itu mencetuskan perdebatan awam berhubung kemungkinan penglibatan tidak langsung Malaysia dalam rantaian bekalan industri pertahanan global susulan laporan mengenai hubungan pembekalan Lynas dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DOD).

Sementara itu, jurucakap Gabungan Rakyat Malaysia dan Penyokong Masyarakat Sivil Menentang Perang dan Pelanggaran Kemanusiaan (500 Anti Perang), John Ooh, berkata memorandum yang ditandatangani 500 peserta telah dihantar kepada ahli Parlimen bagi mendesak kerajaan menjalankan siasatan bebas terhadap rantaian bekalan REE Malaysia.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan negara tidak terlibat secara tidak langsung dalam sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa.