M K Land Holdings Berhad terus memperkukuh langkah dalam sektor tenaga boleh diperbaharui apabila anak syarikatnya, Citra Energies Sdn Bhd, berjaya memperoleh penutupan kewangan bagi pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 29.99MWac di bawah program Corporate Green Power Programme (CGPP) di Mukim Padang Meha, Kulim, Kedah.
Pencapaian itu membuka laluan kepada pelaksanaan penuh pembinaan loji solar PV berkenaan bersama sebuah pencawang 132kV loop-in-loop-out (LILO), sekali gus menyokong usaha meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui negara.
Projek tersebut melibatkan kerjasama strategik dengan institusi kewangan antarabangsa yang mempunyai kepakaran dalam pelaburan mampan selain syarikat multinasional yang mengembangkan operasi di rantau ini.
Dalam masa yang sama, kerja Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) akan dilaksanakan oleh pakar tempatan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan teknologi bersih.
Menurut syarikat itu, penglibatan pemain global dan tempatan berpengalaman mencerminkan keyakinan terhadap ekosistem tenaga boleh diperbaharui Malaysia selain memperkukuh pembangunan infrastruktur tenaga bersih berskala utiliti.
Setelah siap dan mula beroperasi kelak, loji solar PV itu akan membekalkan tenaga boleh diperbaharui terus ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Tenaga yang dijana akan dibekalkan kepada pengguna korporat menerusi Perjanjian Pembelian Kuasa Maya (Virtual Power Purchase Agreement) selama 21 tahun.
Struktur tersebut dijangka mampu menjana aliran pendapatan berulang yang stabil selain memenuhi permintaan syarikat multinasional dan pemain industri berskala besar yang kini giat mencari penyelesaian tenaga hijau bagi menyokong objektif kemampanan serta penyahkarbonan operasi mereka.
Ketua Pegawai Operasi – Sumber Kumpulan M K Land dan Pengarah Citra Energies, Frankie Chai berkata, penutupan kewangan projek itu menjadi langkah penting dalam perjalanan tenaga boleh diperbaharui syarikat berkenaan.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam membangunkan platform tenaga mampan yang mampu menyumbang secara bermakna kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.
“Lebih daripada sekadar pembangunan infrastruktur, projek ini melambangkan keyakinan kami terhadap masa depan tenaga bersih sebagai pemacu daya tahan ekonomi dan daya saing serantau,” katanya.
Beliau berkata, projek itu juga mengukuhkan peranan M K Land dalam menyokong sasaran sifar bersih negara menjelang 2050.
Sebelum ini, M K Land turut membangunkan loji solar PV berskala besar pertama, Solar Citra, di Mukim Lembah Beriah, Perak, di bawah program Large-Scale Solar 4 (LSS4) Malaysia.
Fasiliti berkapasiti 10.95MW itu membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada TNB menerusi perjanjian pembelian tenaga jangka panjang sekali gus menandakan kejayaan awal kumpulan tersebut dalam segmen tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti.
Menurut syarikat itu, projek Citra Energies selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) Malaysia yang menekankan kerjasama awam-swasta bagi mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui berskala besar di negara ini.