KKR-Ombudsman Sarawak perkukuh kerjasama perkemas aduan infrastruktur

Iklan
Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkukuh kerjasama strategik dengan Ombudsman Sarawak bagi memperkemas pengurusan aduan berkaitan projek infrastruktur di negeri berkenaan.

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkukuh kerjasama strategik dengan Ombudsman Sarawak bagi memperkemas pengurusan aduan berkaitan projek infrastruktur di negeri berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Ombudsman Sarawak bersama delegasi ke KKR hari ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata pertemuan itu bertujuan mewujudkan persefahaman dan kerjasama lebih tersusun antara kedua-dua pihak dalam mengurus aduan projek pembangunan yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Kerjasama ini akan memudah cara penyelarasan dua hala aduan, termasuk penyaluran aduan projek Persekutuan kepada KKR serta rujukan isu melibatkan Jabatan Kerja Raya Sarawak kepada Ombudsman Sarawak bagi tujuan penelitian dan penambahbaikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Iklan

Alexander berkata walaupun tidak bertindak sebagai badan kehakiman, Ombudsman Sarawak berfungsi sebagai pengantara bebas yang menyokong usaha penambahbaikan tadbir urus ke arah sistem pentadbiran yang lebih adil, cekap, telus dan berkesan demi kepentingan rakyat.

Beliau menyokong penuh langkah tersebut dan berharap jalinan kerjasama itu dapat terus diperkasa, khususnya dalam memperkemas pengurusan aduan berkaitan projek infrastruktur serta memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat disiapkan mengikut perancangan.

Iklan

Pertemuan itu disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kr Datuk Zainal Alhakab Seman, Ketua Ombudsman Sarawak Datuk Seri Abdul Ghafur Shariff dan delegasi Ombudsman Sarawak. - Bernama