NEW YORK/LONDON - Harga minyak terus melonjak pada permulaan minggu ini selepas rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) gagal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Satu tong (159 liter) minyak mentah Brent Laut Utara bagi penghantaran Julai meningkat lebih empat peratus kepada AS$105.76 dalam dagangan awal pada Isnin.
Harga minyak telah meningkat pada penghujung minggu lepas, selepas jatuh kepada AS$96 pada Khamis berikutan harapan untuk penyelesaian diplomatik terhadap konflik Asia Barat itu.
Bagaimanapun, usaha oleh Washington dan Teheran untuk meredakan ketegangan menunjukkan sedikit kemajuan.
Presiden AS, Donald Trump menyifatkan maklum balas terbaharu Iran terhadap cadangan AS yang bertujuan menamatkan konflik itu sebagai"sama sekali tidak boleh diterima" dan mengeluarkan ancaman baharu terhadap Teheran.
Iran menolak cadangan AS itu, dengan media kerajaan menyifatkannya seolah-olah satu tuntutan agar Teheran menyerah kalah.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah berikrar untuk meneruskan peperangan sehingga kebimbangan utama menyelubungi program nuklear Iran dapat diselesaikan. - Bernama