Perjalanan jauh, 200 liter tak cukup sebulan, kerajaan digesa batalkan kuota Sabah dan Sarawak

Iklan
Kerajaan digesa membatalkan had bulanan 200 liter kuota bagi petrol RON95 kepada semua penduduk di Sabah dan Sarawak. Gambar kecil: Gee Tien Siong

KOTA KINABALU - Kerajaan digesa membatalkan had bulanan 200 liter kuota bagi petrol RON95 kepada semua penduduk di Sabah dan Sarawak.

Perkara itu disuarakan Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Gee Tien Siong selepas mengambil kira keadaan jarak perjalanan yang jauh antara daerah di kedua-dua negeri tersebut.

Iklan
Iklan

"Oleh kerana Sabah kekurangan rangkaian kereta api atau pilihan pengangkutan alternatif, bahan api RON95 bersubsidi pada harga RM1.99 untuk satu liter kekal sebagai talian hayat utama bagi mobiliti keluarga dan urusan harian merentasi jarak yang jauh, begitu juga dengan diesel bersubsidi RM2.15 untuk satu liter yang kini tidak dihadkan.

"Had sedia ada sebanyak 200 liter sebulan sudah pun membebankan keluarga kerana hanya dengan tiga perjalanan pergi dan balik antara Kota Kinabalu dan Tawau, yang sejauh 450 kilometer sehala, kuota tersebut akan habis sepenuhnya sebelum minggu keempat.

Iklan

"Bagi laluan melebihi 300 kilometer antara Kota Kinabalu-Sandakan atau Sandakan-Tawau, keseluruhan peruntukan subsidi juga akan habis dalam tempoh hanya tiga perjalanan pergi balik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, penggunaan bahan api yang tinggi di Sabah adalah kesan langsung daripada jarak yang sangat jauh yang perlu dilalui penduduk adalah untuk keperluan harian.

Iklan

"Ia bukannya kerana kecenderungan memilih kenderaan berkuasa besar.

"Kebanyakan keluarga enggan melakukan perjalanan lanjut setelah kuota bulanan ini habis kerana mereka tidak sanggup mengeluarkan wang yang jauh lebih banyak untuk bahan api tanpa subsidi pada harga dua kali ganda.

"Halangan kewangan ini menyebabkan aktiviti ekonomi penting dan perdagangan tempatan seolah-olah 'terkandas' selama kira-kira 25 peratus daripada setiap bulan kerana penduduk terpaksa mengehadkan pergerakan mereka, sekali gus menyekat penyertaan ekonomi," katanya.

Sehubungan itu, Tien Siong berkata, beliau menolak sebarang pelaksanaan penarikan balik subsidi bahan api di kedua-dua negeri ini, termasuk penyasaran subsidi T20 yang akan datang di bawah program BUDI95, memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan pengeluar minyak utama negara.

"Sebarang pemotongan subsidi bahan api, sama ada dilaksanakan melalui pengurangan kuota atau penyasaran berasaskan pendapatan, akan mencetuskan penurunan mendadak dalam aktiviti ekonomi seperti yang sudah jelas kelihatan di Sabah hari ini.

"Putrajaya (kerajaan) mesti segera membatalkan had 200 liter tersebut, menghentikan pelan pemotongan T20, dan menjamin bahawa harga RON95 pada RM1.99 kekal kekal dan tanpa had untuk semua penduduk di Sabah dan Sarawak," tegasnya.