Urus kewangan dengan hemat

Iklan
ISLAM menyediakan garis panduan dalam aspek pengurusan kewangan. Foto Canva

JHEAT ingatkan umat Islam agar berjimat cermat, tidak membazir dan tidak menambah hutang baharu tanpa perlu

ISLAM merupakan agama yang mengatur segala kehidupan umatnya merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan politik.

Perkara ini bersesuaian dengan asas-asas yang menyentuh persoalan untuk mengurus kehidupan agar ia lebih sempurna teratur dan sesuai dengan keperluan semasa.

Iklan
Iklan

“Sebagai seorang Muslim, tentunya kita menyedari bahawa dalam menjalani kehidupan ini, ALLAH SWT telah mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya sama ada dalam bentuk keamanan, kesejahteraan, kesihatan, kebahagiaan, kekayaan, umur yang panjang dan sebagainya,” ujar khatib pada permulaan khutbah.

Khutbah Jumaat bertajuk Pengurusan kewangan berhemat itu disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan dibacakan di seluruh masjid di negeri itu pada Jumaat lalu.

Iklan

Khatib kemudiannya membacakan ayat ke-18 surah an-Nahl: “Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH (yang dilimpahkan-NYA kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya ALLAH MAHA PENGAMPUN lagi MAHA MENGASIHANI.”

 

Iklan

Namun begitu, ujarnya, kadangkala dengan nikmat yang melimpah ini menyebabkan seseorang itu lupa dan lalai bahawa sebahagian itu merupakan ujian dari ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA.

“Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut, dikhuatiri kesan daripada kelalaian kita menguruskan perbelanjaan menyebabkan kita meninggalkan generasi yang mundur di kemudian hari,” pesannya.

Hemat berbelanja, jangan membazir

Menurut JHEAT, Islam tidak melarang umatnya berbelanja, bahkan Islam mendidik umatnya tentang kaedah berbelanja secara berhemah iaitu dengan memberikan keutamaan dan mendahului kepada perkara-perkara penting sahaja.

“Perlu difahami gaya hidup berhemah berkait rapat dengan sikap berjimat cermat dan tidak membazir. Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana ia termasuk dalam perbuatan keji.

“Jika dasar berhemah ini diambil kira, maka hak-hak serta kebajikan orang-orang fakir dan miskin dapat ditunaikan sepanjang masa,” jelasnya.

Khatib kemudian mengingatkan jemaah bahawa orang-orang yang suka membazir merupakan saudara syaitan dan ia amat suka kepada orang yang boros serta berbelanja mengikut kehendak nafsu.

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara syaitan, sedang syaitan itu pula merupakan makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Israk: 27)

JHEAT menjelaskan, nikmat kekayaan dan kesenangan tidak akan tercapai melainkan harta tersebut diuruskan dengan baik berpandukan syarak.

Islam menggariskan panduan pengurusan kewangan agar salah satu prinsip Maqasid Syariah iaitu Hifzul Mal (menjaga dan memelihara harta) tercapai.

“Islam menggalakkan umatnya untuk menghasilkan, mengembang dan menggunakan harta dengan bijaksana dan tersusun. Harta jugalah yang akan menjadi wasilah atau jambatan takwa manusia kepada ALLAH SWT.

Pengurusan kewangan secara berhemat dan sederhana dapatlah digariskan seperti berikut:

1 - Menetapkan matlamat dalam kewangan

Penetapan matlamat kewangan akan mewujudkan aliran kewangan yang teratur dan tersusun tanpa sebarang gangguan terhadap sumber kewangan yang sedia ada.

Hal ini akan mengelakkan daripada berlakunya pembaziran seterusnya mengawal selia perbelanjaan agar tidak berlebihan dan berbelanja untuk perkara yang tidak perlu.

2 - Meningkatkan ilmu pengurusan kewangan

Melalui agensi pengurusan kerajaan dan swasta, terdapat pelbagai bentuk maklumat dapat diperolehi. Malah, agensi-agensi tersebut juga menyediakan seminar dan kursus pengurusan kewangan serta hutang dalam usaha memberikan pendidikan kepada seluruh masyarakat.

Elakkan perasan malu atau segan untuk mempelajari ilmu berkaitan kerana ia sangat memberi manfaat kepada kita semua.

3 - Pengurusan hutang dengan bijaksana

Pengajaran daripada khutbah Jumaat bertajuk Pengurusan kewangan berhemat

1 - Menghargai dan mensyukuri nikmat harta pemberian ALLAH dengan mengurus dan merancang kewangan secara betul, adil dan berhemat.

2 - Meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan serta mendidik diri, keluarga dan masyarakat akan kepentingan pendidikan pengurusan kewangan.

3 - Bersederhana dalam berbelanja dan mengurus kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip syariah dengan mengambil kira keutamaan dan kemampuan bukannya kemahuan semata-mata.