[VIDEO] Mahmud Ali Bashah selalu fikirkan kematian

Iklan

MAKKAH – “Bila umur makin meningkat, saya selalu fikirkan tentang kematian.”

Demikian pengakuan jujur pelakon veteran, Mahmud Ali Bashah yang mengakui usia 66 tahun membuka ruang untuk dirinya lebih banyak bermuhasabah tentang kehidupan, amalan dan persediaan menuju akhirat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengalaman berada di Tanah Suci memberi kesan mendalam sehingga membuatkan dia semakin sedar tentang kekurangan diri dan tanggungjawab sebagai hamba ALLAH.

“Dulu masa muda, kita rasa hidup masih panjang dan terlalu sibuk dengan urusan dunia.

Iklan

“Tapi bila usia makin meningkat, kita mula sedar apa yang lebih penting dalam hidup,” katanya ketika ditemui di sini.

Mahmud berkata, dia kini lebih banyak memikirkan tentang amalan yang mahu dibawa ke akhirat apatah lagi selepas melihat ramai rakan seperjuangan dalam industri seni telah pergi menghadap Ilahi.

Iklan

“Banyak kawan-kawan saya dalam bidang yang sama dah tak ada. Dari situ memang timbul kesedaran untuk berubah jadi lebih baik.

“Kita tak tahu umur sampai bila. Jadi bila ALLAH masih beri peluang hidup sampai umur macam ini, saya rasa itu peluang untuk perbaiki diri,” katanya.

Menurutnya, suasana di Tanah Suci terutama ketika melihat lautan jemaah memenuhi Masjidil Haram turut menyentuh hatinya dan menimbulkan rasa sayu yang sukar digambarkan.

“Bila tengok orang ramai berdoa dan beribadah di depan Kaabah, memang timbul satu kesedaran dalam diri.

“Kita rasa terlalu banyak kekurangan dan terlalu banyak perkara yang kita lupa. Sepatutnya hidup ini lebih ditumpukan untuk bekalan di akhirat,” ujarnya.

Mahmud kini memilih untuk memperlahankan kerjaya seni dan pulang menetap di Sarawak.

Rakan sebilik baik

Mengulas pengalaman sepanjang berada di Tanah Suci, Mahmud berkata, dia bersyukur kerana dikurniakan rakan sebilik yang mudah dibawa berbincang dan saling membantu antara satu sama lain.

Katanya, sepanjang berada di Madinah dan Makkah, dia berpeluang mengenali ramai jemaah dari pelbagai negeri termasuk Kelantan, Negeri Sembilan dan Sarawak.

“Alhamdulillah, roomate semua okey. Dengan sesiapa pun kita kena pandai berinteraksi sebab kita datang sini untuk beribadah.

“Walaupun baru kenal, kita anggap macam kawan sendiri dan saling menjaga antara satu sama lain,” katanya.

Mahmud turut menyifatkan pengalaman menunaikan haji menerusi pakej muassasah sebagai sesuatu yang baik dan mengajar dirinya supaya lebih bersyukur serta mengurangkan rungutan ketika beribadah.

Menurutnya, apa yang lebih utama ialah niat dan fokus untuk menyempurnakan ibadah, bukannya terlalu memikirkan soal layanan atau kemudahan.

“Apa pun sistemnya, yang penting kita datang sini untuk beribadah. Jadi saya rasa kita kena banyak bersyukur dan kurangkan rungutan.

“Kalau betul-betul datang kerana ibadah, kita kena belajar terima keadaan dengan hati terbuka,” katanya.

Tiga kali rayuan

Dalam pada itu, Mahmud turut berkongsi perjalanan panjangnya sebelum dipanggil menunaikan ibadah haji apabila terpaksa membuat rayuan sebanyak tiga kali kerana lambat mendaftar.

Menurutnya, dia mula menyimpan hasrat untuk menunaikan haji selepas melihat rakan-rakan pergi mengerjakan umrah dan haji.

“Dulu saya ambil mudah soal daftar haji. Saya ingat bila daftar sudah cukup, rupanya perlu simpanan yang mencukupi dalam akaun. Sebab itu giliran saya lambat,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana akhirnya diberi peluang menjadi tetamu ALLAH ketika masih sihat.

“Alhamdulillah, kali ketiga buat rayuan baru sangkut. Saya rasa sangat bersyukur sebab masih diberi kesihatan untuk mengerjakan haji,” katanya.

Pulang ke Sarawak

Mahmud yang sudah lebih 37 tahun berada dalam dunia lakonan turut mengakui kini memilih untuk memperlahankan kerjaya seni dan pulang menetap di Sarawak demi mencari ketenangan hidup.

Katanya, kehidupan sebagai pelakon memerlukan banyak pengorbanan masa dan tenaga sehingga ada perkara penting dalam hidup yang terpaksa diketepikan.

“Sekarang saya rasa sudah tiba masa untuk diri sendiri pula. Saya mahu hidup lebih tenang dan fokus kepada perkara yang lebih baik untuk diri.

“Saya masih berlakon kalau ada watak yang baik dan beri contoh positif, terutama di Sarawak. Tapi kalau watak negatif, memang saya akan tolak,” akhirinya.