BAITULMUQADDIS - Lebih 7,000 pegawai dan anggota tentera Israel dilaporkan diberhentikan secara kekal atas faktor psikiatri ketika perang di Gaza masih berterusan.
Menurut laporan Haaretz pada Khamis, seramai 7,241 anggota tentera Israel telah dilepaskan daripada perkhidmatan kerana mengalami keruntuhan psikologi, manakala ribuan lagi anggota tetap dipindahkan daripada tugas tempur akibat keletihan melampau atau gangguan mental serius.
Laporan itu yang memetik sumber perubatan dalam Jabatan Kesihatan Mental tentera Israel mendakwa, krisis psikologi dalam kalangan anggota tentera mula meningkat sejurus selepas 7 Oktober 2023.
Kebanyakan anggota yang terlibat dalam konflik di Gaza juga dilaporkan enggan kembali ke medan tempur.
Sejak Jun 2024, tentera Israel didakwa berhenti menjawab permohonan rasmi yang difailkan di bawah Undang-Undang Kebebasan Maklumat.
Walaupun terdapat tempoh undang-undang selama 120 hari untuk menjawab permohonan tersebut, tentera Israel dilaporkan mengelak daripada mendedahkan data penuh dan hanya memberikan maklum balas selepas petisyen difailkan di mahkamah.
Data bagi suku terakhir 2024 menunjukkan kes akhiri hidup dalam kalangan anggota tentera Israel meningkat dua kali ganda.
Laporan itu turut mendakwa pegawai di Jabatan Tenaga Kerja dan jurucakap tentera sengaja melambatkan atau menyekat penerbitan maklumat yang boleh menjejaskan imej awam pasukan tentera.
Pendedahan tersebut menambah tekanan terhadap Israel yang terus berdepan penelitian antarabangsa berhubung kesan perang Gaza, bukan sahaja terhadap penduduk Palestin, tetapi juga terhadap anggota tenteranya sendiri.
Walaupun tentera Israel didakwa cuba menyembunyikan angka sebenar, sebuah mahkamah dilaporkan memaksa pihak tentera menyerahkan sebahagian data berkaitan perang.
Angka tersebut disifatkan antara yang tertinggi dalam sejarah Israel.
Laporan itu menyimpulkan bahawa pakar dalam Pasukan Pertahanan Israel didakwa lebih menumpukan usaha menyembunyikan realiti krisis berbanding menangani masalah kesihatan mental yang semakin meruncing dalam kalangan anggota tentera.-Agensi