INDUSTRI muzik kini menyaksikan perubahan besar apabila semakin ramai artis antarabangsa beralih kepada penggunaan teknologi digital dalam persembahan dan produksi. Daripada sistem in-ear monitor (IEM) hinggalah penggunaan peralatan tanpa amplifier, pendekatan tersebut semakin menjadi norma baharu dalam industri global.
Bagi kumpulan legenda metal tanah air, Cromok, perubahan itu bukan sekadar trend, tetapi evolusi yang perlu diadaptasi demi memastikan persembahan lebih efisien dan berkualiti.
Menurut gitarisnya, Karl, penggunaan teknologi digital bukan sahaja meningkatkan mutu bunyi, malah memudahkan keseluruhan operasi produksi.
“Ramai artis antarabangsa sekarang tidak lagi menggunakan monitor besar di atas pentas. Mereka guna IEM sepenuhnya. Ini menunjukkan arah industri sememangnya ke digital,” katanya.
Tambah Karl, faktor kos turut menjadi antara pemangkin utama perubahan tersebut memandangkan penggunaan peralatan analog konvensional memerlukan pelaburan tinggi.
“Kalau guna amplifier dan speaker tradisional, kos boleh sampai RM40,000 hingga RM45,000 untuk satu ‘set up’ stereo tetapi dengan sistem digital seperti Kemper Stage Profiler, kosnya jauh lebih rendah dan boleh terus disambungkan ke mixer,” katanya.
Tambahnya, penggunaan sistem digital turut mengurangkan kebergantungan kepada peralatan sewaan selain mempercepatkan proses pemasangan di lokasi persembahan.
Peralihan Cromok ke arah digital bermula daripada cabaran lama yang dihadapi mereka ketika persembahan langsung, khususnya isu monitoring di atas pentas.
“Kami pernah guna sehingga lapan kabinet gitar di atas pentas semata-mata untuk memastikan setiap ahli dapat mendengar bunyi masing-masing,” katanya.
Percubaan awal menggunakan IEM pada 2023 bagaimanapun tidak berjaya apabila kualiti bunyi kurang memuaskan. Namun keadaan berubah selepas mereka menemui sistem IEM beracuan khas yang menawarkan kejelasan bunyi lebih baik.
Sejak itu, penggunaan teknologi berkenaan diperluaskan sehingga membawa kepada keputusan menggunakan sistem digital sepenuhnya dalam persembahan mereka.
Kini, Cromok menggunakan gabungan teknologi termasuk sistem IEM profesional, Kemper Stage Profiler untuk gitar serta dram digital berteknologi tinggi daripada jenama tempatan, Sudoku.
“Apabila semua instrumen sudah digital, kita teruskan keseluruhan setup supaya lebih konsisten,” jelasnya lagi.
Karl menjelaskan, pendekatan tersebut membolehkan semua instrumen disalurkan terus ke sistem audio tanpa penggunaan mikrofon berlebihan di atas pentas sekali gus menjadikan bunyi lebih bersih dan terkawal.
“Hanya satu mikrofon digunakan untuk vokal. Selebihnya semua masuk terus ke mixer. Ini menjadikan bunyi lebih bersih dan konsisten,” jelasnya.
Malah, Cromok turut membawa sistem sendiri termasuk rack dan mixer bagi memastikan kualiti bunyi yang sama di setiap lokasi persembahan.
Walaupun menggunakan teknologi moden, Karl menegaskan identiti muzik Cromok tetap tidak berubah.
“Teknologi tidak mengubah jiwa muzik. ‘Soul’ itu tetap datang daripada artis,” katanya.
Dalam masa sama, kumpulan tersebut turut memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam proses kreatif termasuk penghasilan muzik video.
“Sekarang kita boleh sunting dan susun muzik dengan lebih cepat. AI pula membantu dalam menjana idea visual.
“Malah, muzik video single terbaharu kami dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknologi AI tanpa penggambaran tradisional,” katanya.
Pendekatan digital itu dijangka memberikan pengalaman berbeza kepada penonton menerusi bunyi yang lebih bersih, seimbang dan konsisten selain disokong elemen visual moden.
Konsep berkenaan bakal dibawakan secara langsung menerusi konsert yang menghimpunkan Cromok dan Barbarik dalam satu pentas, sekali gus menjanjikan pengalaman baharu buat peminat muzik metal tempatan.
Konsert Black and White Cromok Barbarik akan diadakan pada 27 Jun depan di idealive 3 Damansara, Petaling Jaya bermula 8.30 malam.