Taktik sorok PATI atas kapal ikan terbongkar

Iklan
Antara PATI yang ditahan Imigresen di persisir pantai Telok Senangin Lumut Perak pada Khamis.

PUTRAJAYA - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan menggunakan laluan laut dengan menyembunyikan migran di atas kapal ikan sebelum mendarat di pesisir pantai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dipatahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas di pesisir pantai Telok Senangin, Lumut, Perak pada Khamis.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 1.25 pagi itu membabitkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Perak.

"Operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat awam serta risikan selama tiga minggu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Zakaria berkata, hasil risikan di kawasan pesisir pantai Kuala Selangor hingga Lumut membawa kepada pengesanan pergerakan masuk PATI di Telok Senangin.

“Pasukan operasi berjaya menahan 20 warga Indonesia yang baharu mendarat dari Tanjung Balai, Indonesia membabitkan sembilan lelaki dan 11 wanita berusia antara 19 hingga 59 tahun,” katanya.

Iklan

Semakan awal mendapati sebahagian daripada mereka dipercayai imigran larangan yang telah disenarai hitam serta disenaraikan dalam senarai syak jabatan.

Beliau berkata, semakan awal mendapati sebahagian daripada mereka dipercayai imigran larangan yang telah disenarai hitam serta disenaraikan dalam senarai syak jabatan.

"Sindiket dipercayai dikendalikan ejen yang berpangkalan di Tanjung Balai dengan modus operandi membawa masuk PATI menggunakan kapal ikan sebelum dipindahkan ke daratan.

“Migran yang mendarat di pesisir pantai akan diambil dan dihantar menggunakan kenderaan melalui laluan darat ke destinasi yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, setiap individu dikenakan bayaran sekitar RM1,500 untuk memasuki negara ini secara tidak sah.

"Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.