MAKKAH – Seramai 180 Sahabat Maktab bakal menjadi tulang belakang kelancaran operasi Masyair musim haji 1447 Hijrah menerusi penugasan secara proaktif di lapan maktab yang menempatkan jemaah haji Malaysia.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, program yang dilancarkan secara rasmi pada 8 Mei bersamaan 20 Zulkaedah itu melibatkan petugas yang menjadi komponen penting dalam membantu pengurusan jemaah sepanjang musim haji.
Menurut beliau, para petugas dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadat.
“Mereka membantu bermula daripada program di peringkat maktab sehingga ke kemuncak operasi Masyair melibatkan pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.
“Peranan mereka amat penting bagi memastikan urusan pergerakan jemaah berjalan lancar terutama ketika proses naik dan turun bas serta memastikan jemaah berada di lokasi yang betul,” katanya ketika ditemui di sini.
Mohd Hisham juga berkata, musim haji kali ini turut memperlihatkan semangat sukarelawan yang tinggi dalam kalangan jemaah sendiri apabila ramai tampil membantu walaupun tidak disenaraikan secara rasmi sebagai anggota Sahabat Maktab.
“Kebanyakan sukarelawan terdiri daripada golongan muda dan ada yang berusia seawal 18 tahun.
“Pada masa sama, petugas paling berusia pula sekitar 50 hingga 52 tahun, sekali gus menunjukkan penglibatan merentas generasi dalam membantu kelancaran operasi haji,” katanya.
Beliau berharap semua Sahabat Maktab dikurniakan kesihatan yang baik agar setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan sempurna sepanjang operasi Masyair berlangsung.
Pasangan guru muda terpanggil bantu jemaah dalam kalangan Sahabat Maktab musim ini, pasangan suami isteri muda dari Kelantan antara yang mencuri perhatian apabila sanggup menawarkan tenaga membantu jemaah haji lain sepanjang berada di Tanah Suci.
Nik Fatin Farahahim Nik Azri, 25, yang berasal dari Pasir Mas berkata, dia dan suaminya Muhammd Amirul Hakim Azmi, 25, mereka tertarik menyertai Sahabat Maktab selepas melihat perkongsian pengalaman petugas musim lalu di media sosial.
Menurut guru yang kini mengajar di Sabah itu, minat membantu orang lain menjadi faktor utama mereka menyertai program berkenaan.
“Kami ingin tolong orang. Sambil-sambil itu boleh belajar benda baharu dan ambil pengalaman baharu.
“Sebelum ini memang tidak pernah sertai program seperti ini, tetapi sebagai guru kami biasa dengan aktiviti sukarelawan dan gotong-royong di sekolah,” katanya.
Menurutnya, antara tugas yang ingin dilakukan sebagai Sahabat Maktab ialah membantu jemaah uzur, memberi panduan asas ibadah selain menunjukkan arah serta membantu urusan harian jemaah.
“Kita muda lagi dan masih bertenaga. Bila dapat tolong orang memang rasa puas.
“Saya pernah bantu seorang mak cik yang sesat dekat Clock Tower. Masa itu dia nampak kebingungan dan orang sekeliling pun tidak dapat bantu.
“Kebetulan hotel kami sama dan aras bilik pun sama, jadi kami bawa dia pulang semula ke hotel,” katanya.
'Ibadah bukan sekadar solat dan zikir’
Sementara itu, Hairul Iswandy Kadai, 47, dan isteri, Maslinawati Mohamad, 47, berkata, penglibatannya sebagai Sahabat Maktab didorong semangat untuk terus berbakti kepada jemaah haji lain sepanjang berada di Tanah Suci.
Penasihat undang-undang yang berasal dari Sarawak tetapi menetap di Selangor itu berkata, pengalaman aktif dalam persatuan dan aktiviti khidmat masyarakat sejak zaman belajar mendorong beliau tampil membantu operasi haji.
“Saya memang cenderung untuk terus berbakti. Mudah-mudahan sedikit sumbangan itu dikira pahala di sisi ALLAH.
“Saya percaya ibadah ini luas. Bukan sekadar solat, mengaji dan berzikir, tetapi apabila kita menyumbang tenaga dan kudrat membantu orang lain, itu juga satu ibadah,” katanya.
Menurut beliau, faktor tenaga dan kemampuan fizikal yang masih baik menjadi antara sebab beliau yakin dapat membantu petugas sepanjang operasi Masyair.
“Apa sahaja tugasan yang diamanahkan kami akan cuba bantu sebaik mungkin.
“Mungkin kerja lapangan seperti angkat barang, bantu tunjuk laluan atau uruskan pergerakan jemaah di Masyair, insya-ALLAH kami akan bantu,” katanya.
Beliau berkata, penyertaannya sebagai Sahabat Maktab juga didorong cadangan seorang rakan yang pernah menjadi petugas sebelum ini.