ASWARA X Festival Kuala Lumpur: ASWARA Artskap 2026 berlangsung Sabtu ini

Iklan
ASWARA mengajak orang ramai hadir sertai ASWARA Artskap 2026 Sabtu ini.

KUALA LUMPUR - Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sekali lagi membuka pintunya kepada orang ramai menerusi penganjuran ASWARA Artskap 2026.

ASWARA dalam kenyataanya berkata, hari terbuka yang kini tampil dengan konsep baharu berteraskan festival seni kota yang lebih segar, inklusif dan interaktif itu akan berlansung pada 9 Mei ini bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam di Kampus ASWARA.

Iklan
Iklan

"ASWARA Artskap 2026 menjanjikan pengalaman seni yang dinamik dengan pelbagai aktiviti menarik yang direka khas untuk mendekatkan masyarakat dengan dunia seni, budaya dan warisan.

"Mengangkat konsep zon interaktif SKAP, pengunjung berpeluang meneroka pelbagai disiplin seni melalui lapan zon utama," katanya pada Selasa.

Iklan

Lapan zon utama itu merupakan Skap Pentas yang menampilkan persembahan teater, muzik dan tari secara langsung; Skap Studio memfokuskan sesi demonstrasi seni; Skap Karya menyediakan sesi bengkel dan masterclass; serta Skap Bicara iaitu sesi diskusi dan perkongsian ilmu bersama panel industri.

Turut ditonjolkan ialah Skap Market yang menawarkan jualan produk seni, makanan dan kraftangan tempatan; Skap Pulse menampilkan aktiviti senam seni; Skap Legasi pula merangkumi sesi temuduga kemasukan pelajar baharu ASWARA dan ujibakat pementasan seni serta Skap Layar yang mengetengahkan konsep wayang pacak dan tayangan filem tempatan.

Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, ASWARA Artskap bukan sekadar hari terbuka tetapi sebuah platform yang meraikan kepelbagaian seni serta membuka ruang interaksi antara penggiat seni, pelajar dan masyarakat umum.

Katanya, melalui pendekatan festival seni urban ini akan menjadikan ASWARA sebagai ruang terbuka yang lebih dekat dengan masyarakat sekali gus memperkukuh apresiasi terhadap seni dan budaya tempatan.

"Semoga dengan penganjuran ASWARA Artskap 2026 ini, lebih ramai masyarakat akan terus menghargai seni sebagai sebahagian daripada gaya hidup dan menyokong perkembangan industri kreatif negara, di samping memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama rakan industri seperti KL Festival dan Think City.

"Selain itu, penganjuran kali ini turut disokong oleh penglibatan Sukarelawan Seni yang terdiri daripada golongan belia.

"Inisiatif ini menjadi platform penting dalam memupuk semangat kesukarelawanan serta memartabatkan seni budaya dalam kalangan anak muda," ujarnya.

Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk merasai sendiri pengalaman seni yang unik itu dan mengenali dengan lebih dekat peranan ASWARA sebagai institusi peneraju pendidikan seni budaya dan warisan di Malaysia.