Dron murah Hizbullah gugat rejim Zionis

Iklan
Kelajuan dan ketepatan dron tersebut berpotensi menyebabkan kemusnahan besar kepada sasaran Israel.

TEL AVIV - Dron gentian optik murah yang digunakan Hizbullah menyasarkan tentera Zionis di selatan Lubnan memberi tamparan hebat kepada pasukan tersebut yang kononnya dianggap antara paling maju di dunia.

Penyelidik kanan di Institut Kajian Keselamatan Negara Israel (INSS), Orna Mizrahi berkata, peranti itu berukuran kecil, murah dan mudah didapati seperti 'alat mainan kanak-kanak'.

Iklan
Iklan

"Tentera Isral buat masa ini tidak memberi sebarang tindak balas terhadapnya kerana mereka tidak bersedia menghadapi bahan letupan berteknologi rendah seperti ini," ujarnya dengan angkuh seakan-akan cuba memperlekehkan 'senjata canggih' milik Hizbullah yang telah berjaya membunuh musuh.

Ia berbeza dengan dron konvensional dikawal melalui GPS atau isyarat radio yang boleh disekat dengan sengaja.

Iklan

Proksi Iran tersebut menggunakan dron yang disambungkan terus ke lokasi pelancaran melalui kabel gentian optik nipis yang berupaya menjangkau jarak puluhan kilometer.

Dron itu tidak menghantar imej melalui siaran radio yang dapat mengelak daripada dikesan oleh perisikan elektronik atau disekat melalui peperangan elektronik

Iklan

Kelajuan dan ketepatan dron tersebut berpotensi menyebabkan kemusnahan besar kepada sasaran Israel dan ketiadaan jejak elektronik menjadikan pasukan musuh bergantung kepada radar atau pengesanan visual yang biasanya sudah terlambat.

Sejak kebelakangan ini, Hizbullah didakwa semakin kerap menggunakan dron tersebut, menandakan satu perubahan ketara berbanding taktik pada fasa awal konflik yang lebih tertumpu kepada serangan roket berskala besar.

Pakar berkata kos untuk memasang dron gentian optik ini adalah serendah beberapa ratus dolar hingga kira-kira AS$4,000 (RM15,880).

Ia bergantung kepada kualiti dan jenis komponen yang boleh dibeli melalui platform dalam talian seperti AliExpress.

Pada Jumaat lalu, ketua media kumpulan pejuang itu, Youssef al Zein mengesahkan penggunaan dron tersebut yang dihasilkan di Beirut.

Bagi Israel, tindakan menembak jatuh dron murah menggunakan sistem pertahanan udara canggih dan jet pejuang adalah tidak mampan serta melibatkan kos yang tinggi.

Pakar berpendapat bahawa senjata laser seperti yang digunakan dalam sistem pertahanan udara Iron Beam kononnya berpotensi menjadi penyelesaian yang lebih berkesan sekiranya penggunaan dron tersebut semakin meluas. - AFP