BAKU – Keputusan kerajaan Azerbaijan memperkenalkan peraturan pakaian sekolah yang secara tidak langsung mengehadkan pemakaian hijab mencetuskan bantahan selepas beberapa pelajar dan guru dilaporkan dihalang menghadiri kelas kerana memakai tudung.
Pindaan peraturan pakaian seragam sekolah yang diluluskan bulan lalu tidak menyebut larangan hijab secara khusus, sebaliknya melarang pakaian yang didakwa bercanggah dengan prinsip sekular negara itu.
Agensi Berita Azerbaijan (APA) melaporkan pindaan terhadap peraturan pakaian pelajar institusi pendidikan umum kerajaan itu bertujuan menyeragamkan pemakaian berdasarkan prinsip sekular.
Bagaimanapun, keputusan berkenaan mencetuskan bantahan apabila beberapa sekolah mula menghalang pelajar dan guru yang memakai hijab daripada memasuki kelas.
Seorang guru, Zahra Hasanova, memberitahu Al Jazeera bahawa beliau dimaklumkan tidak lagi dibenarkan memakai hijab di sekolah.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang mengecewakan kerana pemakaian hijab merupakan pilihan peribadi seseorang.
Kira-kira 96 peratus penduduk Azerbaijan beragama Islam. Walaupun Perlembagaan negara itu menetapkan Azerbaijan sebagai sebuah negara sekular, kebebasan beragama turut dijamin.
Menurut APA, pakaian yang mencerminkan sejarah, budaya serta nilai kebangsaan dan moral rakyat Azerbaijan masih boleh dipakai ketika sambutan tertentu, tertakluk kepada kelulusan Majlis Pedagogi di bawah Kementerian Sains dan Pendidikan.
Pihak berkuasa turut menyatakan bahawa pemakaian yang mematuhi piawaian profesional dapat memberi kesan positif terhadap reputasi sekolah.
Bantahan merebak, pelajar boikot kelas
Keputusan itu mencetuskan protes serta kempen bantahan di media sosial. Rakaman video yang tersebar menunjukkan pelajar menangis dan memeluk guru mereka selepas dihalang memasuki sekolah.
Media tempatan turut melaporkan pelajar di sekurang-kurangnya dua sekolah memboikot kelas sebagai tanda bantahan terhadap sekatan berkenaan.
Wartawan yang dipenjarakan, Polad Aslanov, yang sedang menjalani hukuman penjara 113 tahun selepas disabitkan atas kesalahan pengkhianatan pada 2020, turut melancarkan mogok lapar bagi membantah peraturan itu.
Dalam mesej yang disiarkan isterinya, Gulmira Aslanova, menerusi Facebook, Aslanov berkata, beliau menggunakan mogok lapar sebagai satu-satunya cara untuk menyuarakan bantahan terhadap apa yang disifatkannya sebagai pencabulan hak perlembagaan.
Turkiye turut menyaksikan bantahan
Isu berkenaan turut mencetuskan kempen media sosial dan demonstrasi di Turkiye, apabila sebahagian pihak menyamakan perkembangan itu dengan sekatan pemakaian tudung di universiti dan sektor perkhidmatan awam Turkiye susulan krisis politik pada 1997.
Minggu lalu, penunjuk perasaan berhimpun di luar konsulat Azerbaijan di Istanbul bagi membantah sekatan yang menjejaskan wanita Islam serta menggesa kerajaan di Baku mempertimbangkan semula keputusan tersebut.
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, kemudian mengeluarkan kenyataan yang dilihat sebagai kritikan tidak langsung terhadap Turkiye, sekutu rapat negaranya.
Ketika berucap pada kongres Parti Azerbaijan Baharu, Aliyev memberi amaran supaya pihak luar tidak mencampuri cara hidup rakyat Azerbaijan, meskipun beliau tidak menyebut Turkiye secara langsung.
Pihak berkuasa Ankara belum memberikan maklum balas rasmi terhadap kenyataan Aliyev.
Bagaimanapun, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 23 September lalu, menyentuh isu peningkatan diskriminasi terhadap wanita Islam.
Perkembangan itu menjadikan isu pemakaian hijab di sekolah Azerbaijan bukan sahaja mencetuskan bantahan dalam negara, malah turut mengundang perhatian serantau berkaitan kebebasan beragama dan pelaksanaan prinsip sekular. - Agensi