10,000 CCTV berteknologi tinggi bantu Kuala Lumpur jadi lebih selamat

Iklan
Hannah bersama Fadlun (kiri) melihat peta yang menempatkan lokasi CCTV di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - 10,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi strategik di sekitar Kuala Lumpur mampu menjadikan ibu kota itu lebih selamat kepada penduduk dan pengunjung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, dapatan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati inisiatif tersebut membantu mengurangkan 50 peratus jenayah yang dilaporkan di Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Perkongsian maklumat (melalui CCTV) untuk menyelesaikan kes jenayah menjadikan Kuala Lumpur lebih selamat kepada kanak-kanak, wanita dan semua," katanya menerus sidang akhbar pelaksanaan sistem CCTV bersepadu antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PDRM, di sini baru-baru ini.

Ujar beliau, sistem tersebut bukan sekadar merakam, sebaliknya mampu mengesan, menganalisis dan mencetuskan tindakan secara masa nyata bagi membolehkan respons antara agensi dibuat dengan lebih pantas serta terselaras," jelas Hannah.

Iklan

Dalam pada itu, Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, sistem tersebut turut dilengkapi teknologi geo-fencing, pengecaman wajah, analitik tingkah laku dan siar raya bersepadu.

"Sistem ini boleh 'scan' wajah seseorang dan merekodkan data. Sekiranya penjenayah datang ke Kuala Lumpur semula, kami tahu dia berada dalam kawasan kita.

Iklan

"Analitik tingkah laku pula mengesan pergerakan mencurigakan. Sekiranya seseorang itu berada dalam keadaaan mencurigakan, kami boleh mengesannya dan mengikuti ke mana dia pergi. Jadi ini sangat membantu PDRM," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian dalam laporan eksklusif bertarikh 6 April lalu mendedahkan pemasangan CCTV di Kuala Lumpur terbukti menurunkan statistik trend kes jenayah jalanan yang ketara sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadli Marsus berkata, kes ragut mencatatkan penurunan drastik sehingga 57.6 peratus bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Disember 2025 berbanding tahun sebelumnya.