Van bawa lapan warga India termasuk tiga kanak-kanak terbalik

Iklan
Keadaan van membawa lapan penumpang terdiri warganegara India terbalik selepas terbabas dalam kejadian Isnin. FOTO: JBPM Melaka.

ALOR GAJAH - Lapan warganegara India termasuk tiga kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas selepas van persiaran dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 213.4 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.18 pagi itu, kenderaan jenis Toyota Hiace dikatakan terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.

Iklan
Iklan

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berkenaan.

Menurutnya, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, terdapat lapan mangsa warganegara India serta seorang pemandu lelaki warga tempatan terbabit dalam kemalangan itu.

Iklan

“Dua kanak-kanak lelaki dan pemandu mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Penumpang lain terdiri seorang lelaki dewasa, tiga wanita serta seorang lagi kanak-kanak lelaki terselamat,” katanya menerusi kenyataan.

Iklan

Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 11.13 pagi dan tamat sepenuhnya seminit kemudian selepas memastikan tiada sebarang bahaya lain.