PENUTUPAN Selat Hormuz dan ketegangan di Laut Merah telah mengubah semula laluan perdagangan dunia dengan Afrika kini menjadi hab utama trafik kapal kontena global.
Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, sekatan tersebut turut memaksa pemilik kapal mencari laluan darat alternatif untuk menghantar makanan dan barangan perkilangan melalui lori kerana kapal tidak lagi dapat memasuki negara-negara Teluk melalui laut.
Pelabuhan Jeddah di Arab Saudi di Laut Merah juga menjadi ‘hab’ serantau baharu yang mana kapal dari syarikat gergasi perkapalan seperti MSC, CMA CGM, Maersk dan Cosco tiba melalui Terusan Suez.
Kargo kemudiannya dipindahkan ke lori dan dihantar melalui jalan raya merentasi gurun ke destinasi seperti Sharjah, Bahrain dan Kuwait yang tidak lagi menerima bekalan kargo melalui laut.
Menurut pengasas bersama syarikat logistik Ovrsea, Arthur Barillas de The, Pelabuhan Jeddah kini mula berdepan kesesakan luar biasa kerana ia tidak berupaya menampung jumlah import yang begitu besar.
Data Kpler Marine Traffic pada Khamis lalu menunjukkan terdapat 11 kapal kontena berlabuh di Jeddah dengan sembilan lagi sedang menunggu dengan masa menunggu secara purata ialah 36 jam berbanding 17 jam minggu sebelumnya.
Pemilik kapal juga menggunakan tiga pelabuhan di luar Selat Hormuz iaitu Sohar (Oman), Khor Fakkan dan Fujairah (Emiriah Arab Bersatu) yang disambungkan melalui jalan darat di Abu Dhabi.
Pelabuhan Aqaba di Jordan pula menjadi pusat penghantaran barang ke Baghdad dan Basra di Iraq manakala koridor Turkiye juga digunakan untuk menghantar barangan ke utara Baghdad.
Di laluan antarabangsa, kapal kontena Asia-Eropah seboleh-bolehnya menghindari laluan Terusan Suez. Situasi itu dikatakan sudah bermula sebelum Perang Iran meletus, namun sangat berkait dengan konflik tersebut.
Pengelakan laluan Laut Merah dari Selat Bab al-Mandeb ke Terusan Suez bermula pada 19 November 2023 selepas serangan pertama ke atas kapal kontena oleh kumpulan Huthi yang disokong Teheran di pesisir Yemen susulan perang ganas dilancarkan ke atas Genting Gaza.
Pengalihan laluan kapal menjadi semakin sistematik dengan kapal kini mengelilingi Afrika melalui pantai timur sehingga ke Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) di Afrika Selatan sebelum menuju ke Eropah dan Mediterranean.
Pengerusi syarikat perkapalan Perancis, Louis Dreyfus Armateurs percaya keadaan tidak menentu di Teluk tidak akan pulih dalam masa terdekat, sekali gus dijangka membawa kepada perubahan drastik kepada laluan maritim global.
-----
Trivia
>70% trafik kargo Laut Merah pada 2023 telah dialihkan ke laluan Tanjung Harapan. Trafik kapal meningkat lebih tiga kali ganda dalam tiga tahun manakala trafik di Selat Bab al-Mandeb menurun lebih separuh.
>Antara 1 Mac hingga 24 April 2026, purata 20 kapal komersial setiap hari telah melalui laluan mengelilingi Tanjung Harapan berbanding hanya enam kapal sehari dalam tempoh yang sama pada 2023.
>Sebagai perbandingan, trafik di Laut Merah telah merosot dengan ketara daripada 18 transit sehari melalui Selat Bab al-Mandeb antara Mac dan April 2023, puratanya jatuh kepada hanya lima transit sehari tiga tahun kemudian.
>Tempoh penghantaran antara Asia dan Eropah kini menjadi lebih panjang, iaitu kira-kira dua minggu. Kos juga meningkat kerana penggunaan bahan api bertambah antara 30% hingga 50%. Sebanyak 10% hingga 20% lagi kapal diperlukan untuk mengekalkan kekerapan perkhidmatan yang sama.
>Harga purata untuk menghantar kontena standard 34.4 meter kubik di laluan utama juga meningkat 14% pada April berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
>Beberapa pelabuhan di Afrika mencatat peningkatan aktiviti.
>Mesir pula mengalami kerugian besar kerana kehilangan hasil daripada Terusan Suez yang merupakan sumber pendapatan utama negara tersebut. Pada 2024, Kaherah menanggung kerugian berjumlah kira-kira AS$7 bilion (RM27.8 bilion) iaitu penurunan lebih 60% berbanding tahun 2023.