Syarikat perkapalan bayar tol Hormuz kepada Iran berisiko dikenakan sekatan - AS

Iklan
AS beri amaran sekatan kepada syarikat perkapalan yang membayar tol kepada Iran di Selat Hormuz - Foto: Agensi

NEW YORK - Mana-mana syarikat perkapalan yang membayar tol kepada Iran bagi laluan melalui Selat Hormuz berdepan risiko dikenakan sekatan punitif, menurut amaran Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, lapor Xinhua.

Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) di bawah jabatan itu berkata AS menyedari"ancaman Iran terhadap perkapalan” serta tuntutan bayaran bagi mendapatkan laluan selamat melalui selat berkenaan, dan tuntutan itu mungkin melibatkan beberapa kaedah pembayaran termasuk mata wang fiat, aset digital, pengimbangan pembayaran, pertukaran tidak rasmi atau sumbangan yang secara nominal disalurkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Iran.

Iklan
Iklan

"OFAC mengeluarkan amaran ini untuk memberi peringatan kepada individu dan entiti AS serta bukan AS mengenai risiko sekatan sekiranya membuat bayaran tersebut kepada, atau mendapatkan jaminan daripada, rejim Iran bagi laluan selamat,” menurut kenyataan nasihat OFAC.

"Risiko ini wujud tanpa mengira kaedah pembayaran.”

Iklan

Selat Hormuz mengendalikan kira-kira 20 peratus aliran minyak global yang diangkut melalui laut.

Iran mengetatkan kawalannya ke atas Selat Hormuz selepas Israel dan AS melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari.

Iklan

AS turut mengenakan sekatan laut yang menyasarkan kapal yang menuju ke dan dari Iran. - Bernama