Pakej Prihatin PKS tambahan mampu elak pengangguran

Iklan
Erwan Tahir

SHAH ALAM - Pengumuman khas Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan penambahan peruntukan merupakan satu penyelesaian untuk mengelakkan berlakunya pengangguran secara besar-besaran sekiranya ekonomi menguncup.

Presiden Pertubuhan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan Malaysia (Perdana), Datuk Seri Erwan Tahir berkata, dengan pelbagai inisiatif yang telah dibentangkan, jelas kerajaan mengiktiraf PKS sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Iklan
Iklan

"Bersandarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, PKS tempatan merekodkan sumbangan sebanyak 38.3 peratus atau RM521.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekali gus membuktikan bahawa sektor ini menguasai dua per tiga daripada jumlah pekerjaan di Malaysia yang merangkumi 40 peratus kepada segmen ekonomi negara.

"Pakej tambahan ini merupakan satu langkah radikal yang diambil oleh kerajaan untuk merangsang Industri PKS dan mengimbangi ekonomi negara yang tidak stabil pada ketika ini," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Katanya, pakej itu juga bertepatan dengan masa dan keadaan kerana sekiranya kerajaan tidak melaksanakan, sektor ini akan gulung tikar yang memberi implikasi kepada jumlah pengangguran negara.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas pengumuman semalam yang memberi sedikit kelegaan kepada para usahawan PKS. Saya mengambil contoh seperti Geran Khas RM3,000 untuk syarikat mikro yang akan memanfaatkan lebih kurang 700,000 usahawan PKS mikro di negara kita yang telah berdaftar dengan LHDN selama ini," katanya.

Iklan

Beliau menzahirkan rasa yakin dan percaya kepada Muhyiddin untuk memacu ekonomi negara ke arah yang lebih mampan di saat seluruh dunia sedang bergelut dengan pandemik koronavirus (Covid-19).