Noh Omar cadang MB Selangor mesti anak jati, mahu perlembagaan dipinda

Iklan
Noh Omar

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar mencadangkan supaya perlembangaan Selangor dipinda dengan menetapkan jawatan menteri besar hanya boleh dipegang oleh anak jati negeri berkenaan.

Menurutnya, cadangan itu dilihat wajar bagi memastikan kepimpinan negeri lebih memahami serta menghayati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah demi kepentingan rakyat di negeri ini.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, kerajaan negeri ketika ini seolah-olah tidak mengendahkan nasihat baginda sehingga teguran yang diberikan diibaratkan seperti 'mencurah air ke daun keladi'.

"Pada pandangan saya, kerajaan hari ini dilihat tidak akur dan tidak melaksanakan titah Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Noh menjelaskan, Sultan Selangor sebelum ini turut menggesa pembangkang memainkan peranan semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dilaksanakan secara telus, berintegriti, efisien dan berhemah.

Beliau pada masa sama membangkitkan isu melibatkan wakil rakyat DAP yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin berhubung larangan penternakan babi di negeri ini.

Iklan

Katanya, walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempunyai hak bersuara, mereka perlu menghormati prinsip Rukun Negara khususnya kesetiaan kepada Raja dan negara.

Selain itu, beliau turut mengecam hantaran jelik oleh satu akaun Facebook yang didakwa menghina Sultan Selangor.

"Kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera menyiasat dan mendakwa mereka yang biadap dan kurang ajar ke muka pengadilan," tegas beliau.