Permohonan SKDS bagi Sabah, Sarawak, Labuan dibuka 4 Mei ini - Armizan
Iklan
Armizan ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Turun Harga di Pasaraya Bataras, Papar.
PAPAR - Permohonan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) akan dibuka kepada pengusaha syarikat sektor pengangkutan darat bagi Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 4 Mei depan sebagai langkah permulaan sebelum pelaksanaan sistem tersebut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung peluasan penyaluran subsidi diesel kepada sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai mekanisme pengurusan risiko bagi mengekang kegiatan penyeludupan.
Iklan
Iklan
Katanya, kerajaan memilih pendekatan berfasa dan tidak tergesa-gesa memandangkan pelaksanaan sistem berkenaan memerlukan penelitian serta persediaan rapi, khususnya mengambil kira faktor geografi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
"Jadi pembukaan permohonan untuk syarikat-syarikat yang mempunyai kenderaan yang digunakan untuk pengangkutan barang ini akan bermula pada 4 Mei nanti.
Iklan
"Bagaimana kaedah penyalurannya adalah syarikat-syarikat yang berkelayakan memohon melalui sistem SKDS," katanya selepas merasmikan Kempen Turun Harga di Pasaraya Bataras, di sini, lada Ahad.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, syarikat yang diluluskan permohonannya akan diberikan kuota berdasarkan jumlah kenderaan berdaftar sebelum perlu mendapatkan Fleet Card daripada syarikat minyak yang dilantik.
Iklan
Katanya, melalui penggunaan kad berkenaan, syarikat terlibat boleh membeli diesel bersubsidi pada harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.15 seliter.
"Sekiranya diluluskan dengan jumlah kenderaan itu, mereka kemudiannya akan memohon Fleet Card daripada syarikat-syarikat minyak.
"Dengan adanya Fleet Card itu kemudian mereka akan boleh terus memanfaatkan subsidi mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM2.15," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan akan mengumumkan maklumat penuh berkaitan kaedah pendaftaran serta jenis sektor pengangkutan barangan yang layak pada 1 Mei ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua syarikat berkaitan supaya membuat persiapan awal dengan menyemak dan melengkapkan dokumen penting seperti lesen syarikat yang masih aktif serta cukai jalan kenderaan yang sah.
Katanya, jika semua dokumen lengkap, proses permohonan secara dalam talian boleh diselesaikan dalam tempoh singkat sebaik sistem dibuka kelak.
"Yang paling penting contohnya lesen syarikat, pastikan masih aktif. Yang kedua, kenderaan-kenderaan mereka yang ingin didaftarkan mesti ada cukai jalan yang masih sah.
"Bila semua persiapan dibuat, apabila buka pada 4 Mei nanti mereka boleh terus membuat permohonan secara dalam talian," katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata kerajaan turut menyediakan kaedah pendaftaran bergerak atau secara bergerak bagi membantu syarikat yang kurang mahir menggunakan platform digital.
Menurutnya, inisiatif itu penting bagi memastikan tiada pihak tercicir, terutama syarikat di kawasan pedalaman dan lokasi yang mempunyai kekangan capaian internet.
Katanya, jadual serta lokasi pendaftaran bergerak akan diumumkan kemudian bagi memudahkan urusan permohonan syarikat terlibat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu melibatkan pampasan kepada 41 lot yang terkesan, termasuk struktur premis yang perlu diambil bagi membolehkan projek pelebaran jalan sepanjang 1.5 kilometer dilaksanakan.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/789730/edisi/sabah-sarawak/rm17-juta-untuk-tanah-pampasan-projek-naik-taraf-jalan--alexander
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.