Insurans kenderaan asing: Tiba masa Malaysia bertindak tegas dan berprinsip

Iklan
Isu kemasukan kenderaan asing dari Thailand ke Malaysia tanpa kewajipan perlindungan insurans tempatan bukan lagi perkara baharu. Gambar kecil: Rushdan Rusmi

Oleh Rushdan Rusmi

ISU kemasukan kenderaan asing dari Thailand ke Malaysia tanpa kewajipan perlindungan insurans tempatan bukan lagi perkara baharu. Ia telah lama berlarutan, dibincangkan di pelbagai peringkat, namun masih belum menemukan penyelesaian dasar yang tuntas.

Iklan
Iklan

Dalam konteks semasa, ketika negara menekankan aspek keselamatan, keadilan dan kecekapan tadbir urus, kelompongan ini tidak boleh lagi dibiarkan berterusan.

Sebagai Ahli Parlimen yang mewakili kawasan sempadan, saya melihat isu ini bukan sekadar soal teknikal atau prosedural, tetapi menyentuh prinsip asas sebuah negara berdaulat: melindungi rakyatnya, memastikan keadilan dalam dasar, serta menegakkan prinsip timbal balik dalam hubungan antarabangsa.

Iklan

Realiti di lapangan amat jelas. Kenderaan Malaysia yang memasuki Thailand diwajibkan memiliki perlindungan insurans atau perlindungan pihak ketiga. Namun, kenderaan Thailand yang memasuki Malaysia, khususnya dalam radius tertentu di kawasan sempadan, pula tidak tertakluk kepada kewajipan yang sama.

Ketidakseimbangan ini bukan sahaja mencetuskan persoalan keadilan, malah membuka ruang risiko kepada rakyat tempatan.

Iklan

Data yang dikemukakan oleh pihak keselamatan memperlihatkan gambaran yang tidak boleh dipandang ringan. Sepanjang tahun 2025 sahaja, sebanyak 97 kes kemalangan melibatkan kenderaan dari Thailand direkodkan di negeri-negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Daripada jumlah tersebut, terdapat kes kematian, kecederaan serta kerosakan harta benda yang memberi kesan langsung kepada rakyat tempatan.

Dalam keadaan kenderaan asing tidak mempunyai perlindungan insurans tempatan, mangsa sering berdepan kesukaran dalam membuat tuntutan. Proses menjadi rumit, memakan masa, dan dalam banyak keadaan tidak memihak kepada rakyat Malaysia. Akhirnya, beban kewangan terpaksa ditanggung oleh individu, malah dalam kes tertentu melibatkan kemudahan awam, kos tersebut ditanggung oleh kerajaan.

Persoalannya, sampai bila keadaan ini harus dibiarkan?

Ada pihak yang berhujah bahawa pelaksanaan insurans wajib kepada kenderaan asing akan menjejaskan sektor pelancongan, khususnya kemasukan pelancong dari Thailand. Hujah ini perlu ditangani dengan rasional dan berasaskan fakta, bukan persepsi semata-mata.

Pertama, insurans bukanlah penghalang kepada pelancong, sebaliknya ia meningkatkan keyakinan. Pelancong tidak takut kepada perlindungan, mereka takut kepada ketidakpastian sekiranya berlaku kemalangan.

Malah, Thailand sendiri sedang menilai keperluan memperketatkan perlindungan insurans kepada pelawat asing bagi menampung kos kesihatan yang tidak dibayar. Ini membuktikan bahawa negara yang sangat bergantung kepada pelancongan juga melihat insurans sebagai instrumen perlindungan, bukan halangan.

Kedua, pengalaman sedia ada menunjukkan kewajipan insurans tidak mengurangkan aliran pelancongan. Rakyat Malaysia tetap memasuki Thailand dalam jumlah yang besar walaupun perlu membeli perlindungan insurans.

Ini menunjukkan bahawa faktor utama pelancongan rentas sempadan ialah nilai ekonomi dan pengalaman, bukan semata-mata ketiadaan syarat.

Ketiga, kos yang dicadangkan perlu sangat minimum. Mungkin dengan pendekatan insurans sekitar RM3 hingga RM5 sehari bagi motosikal dan RM8 hingga RM10 bagi kenderaan persendirian. Jumlah ini amat kecil berbanding perbelanjaan keseluruhan pelancong. Ia bukan beban, tetapi perlindungan asas yang munasabah.

Dalam masa yang sama, kita tidak boleh mengorbankan keselamatan rakyat tempatan atas nama pelancongan. Siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap kos sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kenderaan asing tanpa perlindungan? Mangsa rakyat Malaysia? Hospital kerajaan? atau sistem keadilan?

Pelancongan yang mampan mestilah berteraskan keselamatan dan keadilan, bukan kelonggaran yang merugikan rakyat sendiri.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mengambil langkah yang lebih tegas, terancang dan berprinsip.

Pertama, isu ini perlu segera diangkat ke peringkat rundingan dua hala melalui mekanisme sedia ada seperti Jawatankuasa Sempadan Malaysia–Thailand.

Pendekatan diplomatik yang matang perlu digunakan bagi memastikan prinsip timbal balik dilaksanakan tanpa menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Kedua, satu kerangka perundangan yang jelas perlu digubal bagi mewajibkan perlindungan insurans sementara kepada semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia melalui pintu darat. Mekanisme ini perlu mudah, telus dan tidak membebankan.

Ketiga, pelaksanaan secara berfasa ialah pendekatan paling pragmatik. Saya mencadangkan agar negeri Perlis dijadikan projek perintis, melibatkan pintu masuk utama seperti Padang Besar dan Wang Kelian. Dengan skala yang lebih terkawal, sistem boleh diuji, ditambah baik dan diperluaskan ke negeri lain.

Keempat, penggunaan teknologi digital mesti menjadi teras pelaksanaan. Sistem e-insurans, pembayaran tanpa tunai, serta pengesahan melalui kod QR boleh memastikan proses berjalan lancar tanpa menambah kesesakan di pintu sempadan. Pendekatan “frictionless tourism” perlu dijadikan prinsip kerana lebih mudah, cepat dan selamat.

Kelima, kerjasama strategik dengan syarikat insurans dan ejen di Thailand perlu diperkukuh agar maklumat sampai kepada pengguna sebelum mereka memasuki Malaysia. Ini akan meningkatkan kadar pematuhan dan mengurangkan kekeliruan di pintu masuk.

Apa yang jelas, semua elemen untuk pelaksanaan telah tersedia melalui data keselamatan, kesiapsiagaan industri, mekanisme diplomatik, serta justifikasi dasar yang kukuh. Yang masih belum wujud hanyalah keputusan politik untuk bertindak.

Sebagai wakil rakyat di sempadan, saya menyaksikan sendiri bagaimana kelompongan dasar ini memberi kesan kepada rakyat, terutama dari sudut keselamatan, keadilan dan keyakinan terhadap sistem negara. Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan perkara ini tidak lagi ditangguhkan.

Perlis bersedia untuk menjadi perintis. Perlis bersedia untuk membuktikan bahawa dasar yang adil dan berprinsip boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Kini, persoalannya bukan lagi sama ada kita mampu melaksanakannya, tetapi sama ada kita berani untuk membuat keputusan.

Demi keselamatan rakyat, demi keadilan dasar, dan demi maruah negara, maka sudah tiba masanya Malaysia bertindak.

*** Penulis ialah Ahli Parlimen Padang Besar