SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama penerbit buku sebelum sebarang tindakan dikenakan terhadap hasil penerbitan mereka bagi memastikan proses lebih telus.
KDN dalam kenyataan berkata, inisiatif tersebut diambil susulan sesi libat urus diadakan bersama ahli Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) pada Selasa bagi membincangkan isu berkait industri penerbitan negara.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan bagi memastikan proses yang lebih telus dan konstruktif.
“Dalam masa yang sama, KDN akan meneliti serta menilai semula Perintah Larangan terhadap hasil penerbitan yang telah diwartakan, dengan mengambil kira pandangan serta cadangan yang dikemukakan oleh pihak berkepentingan,” katanya pada Jumaat.
Media pada Khamis melaporkan, KDN dalam proses untuk menarik semula larangan terhadap tiga buku yang didakwa mengandungi ideologi komunisme, termasuk sebuah memoir nenek kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian sedang menunggu jawapan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkenaan perkara tersebut.
KDN menjelaskan, pihaknya sentiasa menghormati dan bersikap terbuka dengan kepelbagaian karya, serta menghargai perkembangan kreativiti penulisan dalam negara.
“Sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam, KDN menegaskan bahawa setiap penerbitan perlu mematuhi peruntukan undang-undang serta tidak mengandungi unsur yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
“KDN menyeru semua pihak agar memberikan ruang sewajarnya kepada kementerian untuk mengurus dan menangani perkara ini dengan sebaiknya,” ujarnya.
Katanya lagi, hal tersebut demi memastikan keseimbangan antara kebebasan berkarya dan kepentingan keselamatan awam terus terpelihara, selari dengan nilai ihsan dan kesejahteraan bersama dalam aspirasi Malaysia Madani.