JELI - Demi RM30 seliter seorang buruh ladang sanggup menjalankan kegiatan memproses sendiri bahan terlarang itu di dalam hutan sejak dua tahun lalu.
Namun aktiviti terbabit berjaya dibongkarkan apabila polis membuat serbuan di Bukit Selar, Kuala Balah di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, suspek berusia 30 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan secara aktif sejak 2024.
Menurut beliau, hasil risikan mendapati suspek menjadikan kawasan hutan di Bukit Selar sebagai lokasi memproses air ketum bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Suspek dipercayai memasak sendiri air ketum di kawasan tersebut sebelum menjualnya kepada penduduk sekitar Kuala Balah.
"Air ketum itu dijual pada harga RM30 bagi setiap liter," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau memberitahu, modus operandi suspek yang memilih kawasan hutan menunjukkan kegiatan itu dirancang rapi bagi menyukarkan pengesanan.
Ujarnya, penahanan suspek ini berjaya melumpuhkan satu rangkaian kecil pengedaran air ketum di kawasan Kuala Balah.
"Kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan jika terdapat individu lain yang terlibat," katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki dan memproses air ketum tanpa kebenaran.
Beliau menegaskan polis akan terus mempergiat operasi membanteras penyalahgunaan air ketum terutama di kawasan pedalaman dan sempadan daerah.