Op Pintas: 9 warga asing dicekup, dua tekong ditahan

Iklan
Bot fiber yang dirampas selepas polis menahan beberapa suspek dalam operasi membanteras penyeludupan migran di Tanjung Kupang. Foto kecil M Kumarasan

ISKANDAR PUTERI – Kegiatan penyeludupan migran di Tanjung Kupang terbongkar selepas polis menjalankam Op Pintas dalam dua serbuan berasingan awal pagi 18 April lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 5.30 pagi, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri menyerbu sebuah stor rumah yang dijadikan lokasi penempatan migran.

Iklan
Iklan

"Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai tekong darat bersama dua migran lelaki berusia antara 32 hingga 47 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Kira-kira sejam kemudian, polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga rumah penampungan di kawasan sama," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau memberitahu semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau namun saringan awal air kencing negatif dadah.

Wang tunai dan telefon bimbit yang dirampas polis.

Iklan

Turut dirampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta serta wang tunai RM4,140.

Dalam serbuan kedua kira-kira jam 6.45 pagi hari sama, polis menyerbu sebuah jeti di kawasan Tanjung Kupang sebelum menahan dua lelaki warga Indonesia dipercayai tekong laut dan penjaga pantai bersama empat migran lelaki berusia antara 36 hingga 66 tahun tanpa dokumen sah.

"Polis turut merampas sebuah bot fiber 17 kaki, enjin bot 40 kuasa kuda, sebuah motosikal, dua telefon bimbit serta wang tunai RM4,200.

"Kesemua migran ditahan reman 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bermula 19 April hingga 2 Mei. Dua suspek lain pula ditahan di bawah Seksyen 4(5) SOSMA selama 28 hari bagi membantu siasatan," ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.