SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau membuat spekulasi berhubung kes khalwat membabitkan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang masih dalam siasatan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan selain menjaga aib individu terbabit selagi kes itu belum memasuki peringkat pendakwaan.
Beliau berkata, tindakan menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat andaian sendiri tidak membawa manfaat kepada masyarakat.
"Belum lagi di peringkat pendakwaan dan sebagainya, jadi beri ruang kepada pihak penguat kuasa untuk melakukan siasatan dan kita tak bolehlah membuat jangkaan, sangkaan atau sebarkan yang bukan-bukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Hafazan Al-Quran dengan Qiraat Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di sini pada Sabtu.
Sebelum ini Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes khalwat melibatkan seorang figura awam di sekitar daerah Petaling, pada jam 6 petang Rabu.
Susulan itu, pada Sabtu, Nik Nazmi mengesahkan dirinya merupakan seorang daripada dua individu yang ditahan JAIS.
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu menjelaskan, beliau bersama rakan-rakannya memulakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek yang dibincangkan.
Mengulas mengenai rakaman CCTV yang tersebar di media sosial, Amirudin menjelaskan, rakaman itu tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti penahanan yang diperkatakan.
Menurut beliau, penyebaran maklumat sedemikian mungkin dilakukan atas tujuan tertentu termasuk untuk meraih perhatian dan meningkatkan jumlah pengikut di media sosial.
"Tindakan (menyebarkan rakaman CCTV) tidak memberikan manfaat kepada masyarakat dan komuniti," tambah beliau.
Beliau memberitahu, JAIS menjalankan tindakan penguatkuasaan berdasarkan aduan yang diterima sebelum siasatan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.
Ujar beliau, tindakan hanya diambil selepas perkara itu diteliti bagi memastikan ia berdasarkan landasan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
"Setiap tindakan dibuat berdasarkan aduan yang diterima, diikuti siasatan sebelum tindakan diambil apabila terdapat kecurigaan atau syak wasangka," tambah beliau.