Kereta mewah tersadai, ditunda MPSPK

Iklan
Operasi tunda kenderaan membabitkan kereta buruk, rosak dan tersadai yang ditinggalkan sehingga menyebabkan halangan.

SUNGAI PETANI - Sebuah kenderaan mewah yang dibiarkan tersadai berdekatan lot kedai di Zon Melati, Bandar Amanjaya di sini antara lapan kereta ditunda Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dalam satu operasi khas pada Selasa.

Ketua Bahagian Strike Force Jabatan Penguatkuasaan MPSPK, Shahrin Yusoff berkata, kenderaan yang tiada nombor pendaftaran itu dilihat tersadai dalam tempoh lama, menyebabkan halangan dan mencacatkan pemandangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain Zon Melati, operasi turut dijalankan di beberapa lokasi lain termasuk Bandar Laguna Merbok, Taman Berangan, Taman Keladi dan Taman Selesa bermula jam 9 pagi hingga 2.30 petang.

"Operasi tunda kenderaan buruk, rosak dan tersadai yang ditinggalkan sehingga menyebabkan halangan diketuai Ketua Unit Operasi bersama tujuh anggota Penguatkuasa Strike Force," katanya.

Iklan

Kenderaan ditinggalkan dalam tempoh lama turut ditunda.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 46(1)(e) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu meninggalkan atau membiarkan apa-apa kenderaan sama ada kereta buruk atau tersadai sehingga menyebabkan halangan.

Iklan

Berdasarkan seksyen tersebut, pihak berkuasa tempatan berhak memindah, menyita atau melupuskan kenderaan terbiar tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar masyarakat lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kenderaan masing-masing dan mengelakkan dari dikenakan tindakan penguatkuasaan.