BATU PAHAT – Bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Bahagian Parit Sulong, Datuk Ariss Samsudin kembali menyertai UMNO melalui inisiatif Rumah Bangsa.
Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, pihaknya menyambut baik keputusan tersebut dan percaya kepulangan Ariss mampu mempengaruhi lebih ramai penyokong untuk kembali bersama UMNO.
“Kita harus berani mengakui bahawa perpecahan telah melemahkan parti namun kini bangkit semula dengan satu pendirian iaitu tidak lagi boleh terus berpecah dan kembali membina kekuatan bersama.
“Sejarah tidak pernah menipu bahawa dari UMNOlah lahirnya kepimpinan serta perjuangan yang bukan sekadar parti namun rumah asal kepada kekuatan politik orang Melayu,” katanya.
Zulkarnain yang juga ADUN Seri Medan berkata demikian ketika menemui Ariss di kediamannya di Batu Pahat pada Selasa.
Beliau menambah, semakin ramai individu kembali kepada UMNO menunjukkan keyakinan terhadap usaha penyatuan yang digerakkan parti.
Katanya, pendekatan itu juga dilihat penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang.
“Ini bukan sekadar slogan, tetapi strategi untuk memastikan kekuatan parti kembali kukuh,” katanya.
Ariss Samsudin merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah yang memegang kerusi tersebut selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 mewakili UMNO.
Kemudian beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022.