AMSTERDAM - Harga gas asli Eropah meningkat ketara pada Isnin selepas Iran menarik balik keputusannya untuk membuka semula Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Di bursa Amsterdam, kontrak penanda aras TTF penghantaran hadapan sebulan meningkat hampir enam peratus kepada €41.02 (AS$48.26) bagi setiap megawatt jam (MWh).
Pada hujung minggu, Iran menarik balik pengumuman terdahulunya untuk membuka semula Selat Hormuz dan meningkatkan tindakan ketenteraan terhadap kapal di kawasan itu.
Ketegangan turut memuncak susulan sekatan tentera laut Amerika Syarikat (AS) di selat berkenaan.
Tentera Laut AS pada Ahad menyerang dan merampas sebuah kapal kargo Iran.
Tentera Iran menuduh Washington melakukan"lanun maritim bersenjata” dan berikrar akan bertindak balas.
Perang Iran dan penutupan laluan perdagangan penting yang digunakan pengeluar tenaga Teluk sebelum ini telah melonjakkan harga gas asli sehingga €74 (AS$87) bagi setiap MWh pada Mac.
Sebelum tercetusnya konflik itu, harga berada sekitar €31 (AS$36) bagi setiap MWh. -Bernama-dpa