SEREMBAN – Tindakan Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah tidak sah.
Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri berkata, ini kerana Mubarak telah diberhentikan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra sejak 13 Mei 2025.
Menurutnya, sidang Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu juga telah menasihatkan supaya pemberhentian tersebut diterima.
“Justeru, tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan tersebut hari ini (Ahad) di Balai Undang Luak Sungei Ujong adalah tidak sah kerana beliau sudah tiada kuasa dari segi adat dan perlembagaan.
"Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta anak-anak waris Klana Hulu juga tidak pernah memberikan mandat kepada Mubarak untuk bertindak sedemikian," katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan Mubarak sebagai satu penderhakaan terhadap Tuanku Muhriz dan sewajarnya dikenakan tindakan undang-undang.
Terdahulu, tular video siaran langsung sidang media mengenai pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz yang dibuat oleh Undang Yang Empat termasuk Mubarak.
Mereka turut mengisyhtiharkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Al-Marhun Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 berkuat kuasa serta-merta.