SEREMBAN - Semua keputusan oleh Undang Luak Sungei Ujong, Mubarak Thahak yang dibuat mulai 13 Mei tahun lalu dianggap tidak sah susulan pesaka Datuk Klana Petra yang disandang beliau sudah dilucutkan berkuat kuasa pada tarikh berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Mulia Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri dalam kenyataan pada Ahad.
Kenyataan terbabit menyusul selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataan memaklumkan bahawa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungei Ujong agar menerima pemberhentian Datuk Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra luak berkenaan.
Katanya, pemberhentian tersebut dibuat mengikut adat Luak Sungei Ujong selaras dengan Fasal 14(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Jelas Sarifah Norzaidah, Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Anak-anak Waris Klana Hulu menjunjung kasih terhadap nasihat yang diberikan oleh anggota-anggota Dewan yang bersidang.
Tambahnya, nasihat Dewan tersebut mengikut Fasal 16 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dan ia selaras dengan adat Sungei Ujong berkenaan hal pemberhentian Undang Luak yang terangkum dalam Fasal 14 (3) UUTKNS 1959.
Selain itu katanya, ia dibuat mengikut Fasal 7 Undang-undang Sungei Ujong yang mana ia sejajar dengan amalan sistem Waris Berundang diguna pakai oleh Luak Sungei Ujong sejak ratusan tahun lalu.
Justeru ujar beliau, semua pihak perlu akur nasihat Dewan dan segala pentadbiran adat Waris di Darat Luak Sungei Ujong kini hendaklah dibawa ke rumah Telaga Undang.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa pemberhentian terbabit dibuat berpandukan bukti terhadap kesalahan yang dilakukan, tanpa sebarang unsur fitnah serta tanpa campur tangan mana-mana pihak luar.
Terdahulu, dalam kenyataan bertarikh 18 Mac dikeluarkan Waris Luak Sungei Ujong, memaklumkan Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selepas mendapat keizinan dan persetujuan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak.
Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong pada Sabtu pula menjelaskan pendirian mereka yang sebulat suara ikrar taat setia kepada Mubarak.
Jelasnya, kenyataan dikeluarkan oleh Zainol Ariffin pada 18 Mac itu juga adalah tidak sah dari sudut adat kerana beliau telah pun dipecat pada 28 November 2024.
Dalam kenyataan berkenaan turut dijelaskan bahawa pemilihan Datuk Undang atau pemberhentian Datuk Undang perlu mengikut adat luaknya saja yang mana ia selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Fasal 14 (1 dan 3).
Justeru, pihak luar yang tiada sebarang kepentingan diminta untuk tidak mencampuri urusan adat di Sungei Ujong.
Pada masa sama pihak mereka turut mempersoalkan kenyataan media dikeluarkan oleh Menteri Besar bertarikh 17 April lalu yang disifatkan salah dan bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan adat Sungei Ujong.
Mereka juga menasihatkan semua pihak supaya merujuk terus kepada Balai Undang Sungei Ujong atau Datuk-Datuk Lembaga Adat yang sah berkenaan dengan Undang Luak Sungei Ujong.