ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyarankan pesawah di kawasan Muda beralih kepada kaedah penanaman tabur terus dalam air bagi memastikan musim penanaman 1/2026 dapat diteruskan meskipun berdepan kekangan bekalan air pengairan.
Dalam satu kenyataan, MADA memaklumkan langkah itu diambil susulan paras takungan di tiga empangan utama iaitu Pedu, Muda dan Ahning yang masih berada pada tahap rendah sekali gus belum membolehkan pelepasan air untuk kegunaan pengairan sawah.
Menurutnya, setakat Rabu, jumlah keseluruhan takungan air direkodkan sekitar 39.22 peratus dengan Empangan Pedu mencatatkan 39.90 peratus, Empangan Muda hanya 10 peratus manakala Empangan Ahning pada paras 52.91 peratus.
“Berdasarkan keadaan ini, pelepasan air ditetapkan pada kadar 700 cusec bagi kegunaan domestik sahaja dan belum melibatkan sokongan pengairan untuk sawah padi,” katanya.
Bagaimanapun, MADA menjelaskan, peningkatan taburan hujan di kawasan Muda memberi peluang kepada pesawah untuk memulakan penanaman dengan memanfaatkan sumber air hujan.
Rekod sehingga Rabu menunjukkan purata taburan hujan mencecah 122 milimeter, sekali gus menjadikan kaedah tabur terus kering (TTK) yang disyorkan sebelum ini tidak lagi sesuai diteruskan.
Sehubungan itu, pesawah digalakkan mengoptimumkan penggunaan air hujan di petak sawah masing-masing selain memastikan sistem batas bendang diselenggara dengan baik bagi mengelakkan pembaziran air.
“Mereka juga perlu meningkatkan pemantauan pintu air masuk dan keluar supaya pengurusan air di peringkat ladang lebih cekap dalam keadaan bergantung sepenuhnya kepada hujan,” ujarnya.
Dalam masa sama, MADA turut mengingatkan pesawah supaya berwaspada terhadap risiko serangan rumpai dan perosak seperti tikus serta kutu trip yang boleh menjejaskan hasil tanaman jika tidak dikawal dengan berkesan.
Menurut kenyataan itu, kegagalan menguruskan faktor berkenaan berpotensi memberi kesan kepada keseluruhan pengeluaran padi bagi musim ini.
“Kerjasama pesawah amat penting dalam mematuhi saranan teknikal serta mengurus sumber air secara bijaksana bagi memastikan musim penanaman berjalan lancar dan bekalan makanan negara terus terjamin,” katanya lagi.