Saluran darah jantung kembali sempit, Nur Nellysa perlukan dana RM115,000

Iklan
Nur Nellysa didapati mengalami penyempitan semula saluran darah di jantung menerusi pemeriksaan susulan pada 5 Ogos lalu sekali gus memerlukan kos rawatan sebanyak RM115,000.

BUKIT MERTAJAM - Selepas lima tahun menjalani pembedahan jantung ketika masih bayi, Nur Nellysa Arshiyaa Mohd Firdaus Azri kini berdepan keadaan kesihatan yang memerlukan pembedahan jantung terbuka serta penggantian alat perentak jantung.

Kanak-kanak berusia lima tahun itu didapati mengalami penyempitan semula saluran darah di jantung menerusi pemeriksaan susulan pada 5 Ogos lalu sekali gus memerlukan kos rawatan sebanyak RM115,000.

Iklan
Iklan

Bapanya, Mohd Firdaus Azri Zaharin, 29, berkata, keadaan anaknya lebih membimbangkan apabila dia tidak menunjukkan sebarang gejala ketara walaupun berisiko pengsan secara tiba-tiba dan boleh mengancam nyawa.

Menurutnya, Nur Nellysa yang menghidap penyakit jantung kongenital sejak lahir pernah menjalani pembedahan ketika berusia sebulan bagi membaiki beberapa kecacatan pada jantung.

Iklan

“Pembedahan itu membabitkan beberapa masalah termasuk lubang pada jantung, penyempitan saluran darah dan membaiki Patent Ductus Arteriosus (PDA) serta dipasang alat perentak jantung (pacemaker).

“Kini selepas lima tahun, pemeriksaan susulan pada 5 Ogos lalu mendapati saluran darah di jantungnya kembali sempit.

Iklan

Mohd Firdaus berkata, walaupun anaknya kelihatan sihat dan tidak mengalami sebarang simptom yang ketara, doktor memberi amaran keadaan itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Menurut Mohd Firdaus, anaknya berisiko untuk tiba-tiba pengsan dan keadaan itu boleh mengancam nyawa sekiranya rawatan tidak dilakukan segera.

“Apa yang paling membimbangkan kami adalah dia langsung tidak menunjukkan sebarang gejala tetapi boleh pengsan secara tiba-tiba.

“Doktor berkata, rawatan tidak boleh ditangguhkan lagi. Kami hanya berharap dia dapat menjalani pembedahan dengan lancar dan membesar dengan selamat,” katanya.

Menurutnya, kos pembedahan yang mencecah RM115,000 menyebabkan dia dan isterinya, Siti Najiha Norazman, 25 terpaksa memohon bantuan orang ramai kerana hanya mampu menyediakan RM10,000.

“Sekiranya pembedahan tidak dilakukan, penyempitan saluran darah jantung itu boleh menyebabkan dia mengalami kesukaran bernafas dan keadaan boleh menjadi semakin serius,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya membantu mengumpulkan dana RM115,000 bagi membiayai pembedahan Nur Nellysa selepas menerima permohonan daripada ibu bapanya.

Katanya, bapa kanak-kanak itu bekerja di bahagian gudang di sebuah kilang manakala ibunya merupakan suri rumah yang turut menjual nugget ayam dari rumah secara sambilan.

“Pasangan itu turut mempunyai dua lagi anak berusia masing-masing satu dan dua tahun.

“Ibu bapa Nur Nellysa hanya berharap anak mereka dapat menerima rawatan secepat mungkin dan tidak menunggu sehingga dia tiba-tiba pengsan atau keadaannya bertambah buruk,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare, 3201428817.

Sumbangan juga boleh dibuat menerusi laman web www.onehopecharity.org.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada One Hope Charity & Welfare menerusi talian 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192.