PASAJE - Bola sepak Ecuador dikejutkan dengan insiden ngeri apabila seorang pengadil amatur, Javier Ortega maut ditembak sekumpulan lelaki bersenjata ketika sedang mengadili satu perlawanan, baru-baru ini.
Dalam kejadian yang berlaku di Pasaje, wilayah El Oro itu, sekumpulan lelaki bersenjata dilaporkan meluru masuk ke dalam padang sebelum melepaskan tembakan ke arah Ortega di hadapan pemain dan penyokong yang sedang menyaksikan perlawanan tersebut.
Kejadian itu mencetuskan suasana huru-hara apabila penyokong dan pegawai kelab bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri sebaik sahaja bunyi tembakan dilepaskan.
Ortega dilaporkan rebah di kawasan berhampiran pemain sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik yang dikejarkan ke tempat kejadian.
Pihak berkuasa tempatan segera menutup kawasan tersebut bagi membolehkan ujian forensik dijalankan dan penyiasat percaya bahawa pembunuhan itu merupakan serangan terancang.
Jurucakap polis Ecuador dalam satu kenyataan berkata, pihaknya kini sedang giat mengenal pasti identiti pelaku.
“Ini adalah jenayah kejam yang dilakukan di ruang yang sepatutnya menjadi tempat komuniti dan sukan. Siasatan sedang dijalankan untuk mengheret dalang ke muka pengadilan,” katanya.
Sementara itu, badan pengadil tempatan melahirkan rasa berang dan menuntut keselamatan diperketatkan pada setiap perlawanan.
“Kehilangan nyawa hanya kerana permainan bola sepak adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata wakil badan tersebut.
Susulan insiden itu, kelab tuan rumah telah menggantung semua aktiviti bola sepak buat masa ini, manakala penduduk setempat mengadakan upacara menyalakan lilin sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Ortega.
Berdasarkan laporan Daily Express, Ecuador mencatatkan angka kematian ganas tertinggi dalam sejarahnya pada tahun 2025 dengan 51 kes pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk. Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding negara jiran, Colombia.
Tragedi ini turut mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan menjelang Piala Dunia 2026 yang dijadualkan berlangsung di Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada dalam tempoh dua bulan lagi, memandangkan Ecuador merupakan salah satu pasukan yang layak bertanding.
Insiden ini mengimbau kembali kenangan pahit peminat bola sepak dunia terhadap tragedi yang menimpa pemain pertahanan Colombia, Andres Escobar yang ditembak mati di Medellin selepas menjaringkan gol sendiri pada Piala Dunia 1994.
Bagaimanapun, kes tembakan di atas padang yang melibatkan pegawai perlawanan disifatkan sebagai sesuatu yang amat jarang berlaku dan sangat mengejutkan.