Derita Gaza kian dilupakan dunia

Iklan
Hujan bom bertalu-talu menggegar wilayah itu hampir setiap hari.

GENTING GAZA - Penderitaan penduduk Palestin di Genting Gaza semakin tenggelam daripada perhatian komuniti antarabangsa apabila tumpuan global kini beralih kepada konflik yang semakin memuncak melibatkan Iran meskipun krisis kemanusiaan di wilayah itu masih berada pada tahap yang amat kritikal.

Sejak gencatan senjata rapuh berkuat kuasa enam bulan lalu, lebih 757 terkorban manakala kira-kira 2,111 cedera setelah rejim Zionis berterusan melanggar tempoh bertenang yang dipersetujui di bawah perjanjian damai pada 10 Oktober 2025.

Iklan
Iklan

Gaza berdepan kebinasaan lebih teruk dengan lebih 10 peratus populasinya maut atau cedera akibat kezaliman Israel.

Kesengsaraan mereka mereka dilupakan seolah-olah tidak lagi menyentuh hati dunia.

Iklan

Angka kematian perang ganas selama lebih dua tahun telah meningkat kepada 72,336 orang dengan sebahagian besar mangsa ialah wanita dan kanak-kanak.

Gencatan senjata yang diumumkan Amerika Syarikat (AS) hanya wayang berikutan sekutu kuat mereka telah melanggar perjanjian tersebut beribu kali menerusi serangan tanpa henti hampir setiap hari.

Iklan

Susulan kempen pencerobohan dilancarkan AS ke atas Iran pada 28 Februari lalu, pihak berkuasa Israel bertindak menutup kesemua lintasan sempadan yang menghubungkan Gaza dengan dunia luar dan turut menghentikan pemindahan perubatan.

---

'Bandar khemah' yang menjadi tempat berlindung ratusan ribu penduduk Palestin sejak gencatan senjata berkuat kuasa enam bulan lalu.

Penutupan itu turut dilaksanakan di Lintasan Rafah walaupun kandungan perjanjian gencatan senjata menetapkan kira-kira 50 pesakit bersama pengiring mereka perlu dipindahkan untuk tujuan rawatan susulan.

Sektor kesihatan di enklaf itu telah mencapai tahap kritikal dengan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) mendokumentasikan lebih daripada 18,500 pesakit termasuk 4,000 kanak-kanak memerlukan pemindahan perubatan segera.

Walaupun pemindahan perubatan secara terhad dilaksanakan semula melalui Lintasan Rafah pada 19 Mac lalu, hanya 625 daripada 7,800 individu iaitu kira-kira lapan peratus daripada jumlah yang dipersetujui dibenarkan melintasi sempadan.

Krisis kemanusiaan terus meruncing apabila Israel juga menyekat bekalan makanan dan ubat-ubatan yang penting.

Israel gagal patuhi syarat

Menurut Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), kira-kira 77 peratus penduduk Gaza kini mengalami kekurangan makanan yang serius.

Pejabat Media Gaza, baru-baru ini menafikan dakwaan Wakil 'Lembaga Keamanan', Nickolay Mladenov menerusi hantaran di platform X kononnya sebanyak 602 trak bantuan memasuki Gaza sehari.

Ia mengesahkan hanya 207 trak dibenarkan masuk dan daripada jumlah itu, kira-kira 79 sahaja membawa bantuan kemanusiaan.

Tambahnya lagi, bantuan yang disalurkan 'tidak memenuhi tahap tindak balas kemanusiaan yang diperlukan' dan jauh daripada mencapai tahap 'akses berskala'.

Sebuah keluarga mendirikan khemah sementara di atas tapak runtuhan rumah mereka yang dibedil Zionis.

Selain itu, pelaksanaan protokol kemanusiaan di bawah perjanjian gencatan senjata tidak melebihi 38 peratus daripada tahap yang dipersetujui.

Ia turut menegaskan bahawa penyelewengan fakta tidak dapat menyembunyikan skala sebenar bencana tersebut. Pembunuhan beramai-ramai terus berlaku di Gaza seakan-akan tiada penghujungnya. - Agensi