AMPANG - Mahkamah Majistret di sini pada Rabu menetapkan 27 April depan untuk status tarik balik laporan oleh pemilik sebuah kereta Ferrari terhadap anak penyanyi, Amir Ukay’s dan dua rakannya, berhubung kes curi kereta mewah itu dua tahun lalu.
Majistret, Normaizan Rahim menetapkan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aizudin Radthuan memohon prosiding ditangguhkan ke tarikh lain.
Menurutnya, pendakwaan belum menerima rekod berkenaan status penarikan laporan polis terhadap tiga tertuduh, iaitu anak penyanyi terbabit, Mohd Aliff Naim Mohd Azmir, 40, dan dua rakannya, Norqyyum Zainori, 31, serta Nor Kamrulazli Muhamed Noor Husen.
“Kami mahu membuat semakan berkaitan penarikan laporan sebagai mana yang diberitahu kepada mahkamah pada sebutan kes lalu,” katanya.
Dalam prosiding, Mohd Aliff Naim diwakili peguam, Muhamad Firdaus Jumaludin manakala peguam, Simran Kaur dan Wan Nur Afifah Che Bakar hadir bagi pihak Norqyyum sementara Nor Kamrulazli oleh peguam, Siti Syaerah Meor.
Mengikut pertuduhan, Norqyyum, Mohd Aliff Naim dan Nor Kamrulazli didakwa bersama-sama mencuri sebuah kereta Ferrari bernilai RM300,000 milik seorang wanita berusia 55 tahun di sebuah pusat cuci kereta di Jalan Hillview, Hulu Kelang pada jam 11.08 pagi, 17 November 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Semua lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Ferrari sama, dengan mengetahui bahawa kenderaan itu adalah harta curi pada tempat, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan enam individu termasuk seorang wanita berhubung kes kecurian kereta mewah yang dilaporkan hilang pada 17 November tahun sama, di sebuah pusat cuci kereta di Hulu Kelang.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Muhamad Firdaus berkata, pemilik kenderaan berkenaan telah menarik balik laporan polis terhadap semua tertuduh pada Selasa.
Bagaimanapun katanya, pihak pembelaan masih menunggu laporan rasmi daripada pihak polis.
“Pertikaian antara pengadu dan ketiga-tiga lelaki itu telah diselesaikan termasuk membuat permohonan maaf secara baik.
"Selepas ini laporan itu akan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu di perkarangan Kompleks Mahkamah Majistret dan Sesyen Ampang.